Pemain pertahanan Belanda berdarah Malaysia, Mats Deijl sah menyertai kelab gergasi Belanda, Feyenoord.
Perpindahan bek kanan berusia 28 tahun diumumkan pengurusan De Stadionclub menerusi satu kenyataan di platform rasmi mereka.
“Tepat pada masanya, Mats Deijl,” kata kelab dalam satu kenyataan. Deijl menjadi pemain kedua yang dibawa masuk legenda Manchester United, Robin van Persie.
Beliau menyertai kelab dengan yuran perpindahan €1 juta (RM4.7 juta) dengan kontrak selama dua tahun setengah. Feyenoord turut memiliki pilihan mengaktifkan klausa kontrak lanjutan selama setahun.
Deijl bakal bersaing dengan Jordan Lotomba dan Bart Nieuwkoop untuk posisi bek kanan. Selain bek kanan, beliau juga boleh beraksi sebagai bek tengah atau pemain sayap jika diperlukan.
Kehadiran Deijl ditagih van Persie untuk membantu memperkuatkan kempen Feyenoord terutama dalam saingan Liga Europa UEFA (UEL). Ini kerana kelab itu masih berpeluang layak ke peringkat playoff kalah mati UEL.
Justeru, pasukan itu perlu menang ke atas Real Betis dalam aksi terakhir peringkat liga UEL jika ingin mara ke peringkat berkenaan.
Nama Deijl sebelum ini menjadi pujaan kelab lamanya, Go Ahead Eagles apabila membantu pasukan itu menewaskan Aston Villa dalam saingan UEL.
Untuk rekod, Deijl memiliki darah Malaysia menerusi moyang beliau. Walau bagaimanapun, beliau tidak layak mewakili skuad negara kerana itu tidak menepati peraturan FIFA.
Ini kerana moyang tidak termasuk dalam spesifikasi Artikel 8 Peraturan-Peraturan Yang Mengawal Permohonan Statut FIFA.
Artikel ini merujuk kepada pemain naturalisasi termasuk pemain yang mewakili negara kelahiran datuk atau nenek mereka.