Khabar duka buat peminat bola sepak apabila pertahanan Go Ahead Eagles, Mats Deijl tidak melepasi syarat FIFA untuk mewakili Harimau Malaya.
Perkara ini dimaklumkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bahawa Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) telah mengesahkan bahawa tonggak Belanda, Mats Deijl tidak melepasi syarat kelayakan untuk menyertai skuad Harimau Malaya.
Hal ini selepas berdasarkan dokumentasi-dokumentasi yang telah dilampirkan didapati bahawa pemain berusia 27 tahun itu hanya mempunyai darah keturunan Malaysia melalui moyang beliau dan bukannya melalui datuk atau nenek sepertimana yang ditetapkan dalam syarat FIFA.
Pemain berbakat ini telah menunjukkan minat beliau untuk mewakili pasukan kebangsaan Malaysia dan FAM telah dimaklumkan bahawa pemain ini mempunyai darah keturunan Malaysia.
FAM sejak dari 27 Jun 2024 telah pun dapat menghubungi secara rasmi kelab, ejen dan pemain itu sendiri bagi membincangkan mengenai kelayakan beliau untuk bermain dengan pasukan kebangsaan Malaysia.
Hasil perbincangan, pemain ini telah memberikan dokumen-dokumen berkaitan susur galur keluarganya yang menunjukkan beliau mempunyai hubung kait dengan negara Malaysia termasuk sijil lahir beliau, ayahnya, datuknya (sebelah ayah) serta pengesahan kelahiran moyangnya (sebelah ayah) iaitu ibu kepada datuk pemain tersebut.
Berdasarkan jawapan FIFA itu, FAM mengesahkan bahawa pemain ini tidak dapat mewakili pasukan kebangsaan Malaysia disebabkan darah keturunan Malaysia adalah daripada moyangnya (ibu kepada datuk pemain) dan bukan di peringkat datuk atau nenek pemain sepertimana syarat ditetapkan oleh FIFA.
FAM bagaimanapun mengucapkan jutaan berterima kasih kepada Mats Deijl atas minat dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh beliau untuk mewakili pasukan kebangsaan Malaysia, namun ia tidak dapat direalisasikan.