Pemain pertahanan Harimau Malaya, Matt Davies dijangka mengetuai cabaran pasukan itu bila menentang Nepal.
Ini berdasarkan laporan terbaru wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam menjelang aksi pertama kelayakan Piala Asia 2027.
Peranan kapten bukan asing buat bek kanan Johor Darul Ta’zim (JDT) itu. Ini kerana Davies juga pernah memegang lilitan kapten ketika era pengendali Korea Selatan, Kim Pan-gon.
“Sistem penggiliran masih diguna pakai untuk skuad Harimau Malaya. Dan untuk pertemuan menentang Nepal, nampaknya Matt Davies bakal memegang lilitan kapten,” katanya kepada Nadi Arena.
“Ini bukan asing buat Davies bergelar kapten Harimau Malaya kerana pemain pertahanan kanan JDT itu sudah diberi tanggungjawab itu dalam beberapa tugasan sebelum ini. Antaranya ketika (aksi) Piala Asia Qatar 2023.”
Zulhelmi turut mendedahkan pengendali skuad kebangsaan, Peter Cklamovski memilih mengekalkan sistem penggiliran pemain yang akan menggalas peranan kapten.
Ini bermakna pemain lain seperti Dion Cools dan Faisal Halim juga berpeluang menggalas peranan sebagai kapten jika diperlukan.
“Saya percaya pemain seperti Matt Davies, Dion Cools mahupun Faisal Halim mungkin berada dalam radar kapten Harimau Malaya,” tambahnya.
Skuad negara bakal membuka kempen Kumpulan F dengan menentang The Gorkhalis pada 25 Mac ini di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).