Seorang wartawan China menyifatkan Indonesia jauh lebih kuat daripada beberapa pasukan Asia termasuk Australia.
Pandangan ini diutarakan wartawan Xi’an Evening News, He Xiaolong bila mengulas peluang skuad kebangsaan China menentang Indonesia pada 15 Oktober ini.
Selepas menilai prestasi Tim Garuda dalam beberapa aksi kelayakan Piala Dunia 2026 sebelumnya, beliau merasakan Dragon’s Team bakal berdepan kesukaran meraih kemenangan.
Ini kerana Indonesia menerapkan corak permainan moden di bawah bimbingan jurulatih Korea Selatan, Shin Tae-yong. Ini termasuk melancarkan serangan ke atas pihak lawan meskipun lawan memiliki ranking lebih tinggi berbanding Indonesia.
Selain itu, Tim Garuda juga memiliki ramai pemain naturalisasi atau lebih tepat pemain berdarah warisan. Kehadiran pemain-pemain ini meningkatkan kualiti pasukan itu di atas padang.
“Melihat kepada perlawanan tempat sendiri menentang Indonesia pada minggu hadapan, saya merasa optimistik Indonesia tidak akan tewas. Dalam dua aksi pertama Indonesia mengikat Singapura di tempat sendiri dan seri dengan Arab Saudi di tempat lawan.
“Jika dibandingkan dengan kekalahan pasukan itu kepada Australia dan Arab Saudi, dari segi corak permainan dan keputusan perlawanan, China tidak berada pada tahap sama.
“Saya sudah menonton beberapa perlawanan pasukan Indonesia. Kebanyakan pemain mereka pemain naturalisasi. Corak permainan mereka cukup moden, lebih moden jika dibandingkan dengan skuad kebangsaan China,” katanya seperti yang dilaporkan portal 163.com.
Xiaolong turut mengakui ramai penyokong China berharap pasukan itu dapat meraih kemenangan selepas tewas tiga aksi sebelumnya.
Pada masa sama, beliau melihat dengan corak permainan Dragon’s Team ketika ini, sukar melihat apa asas yang dapat digunakan Branko Ivankovic untuk membantu China menewaskan Indonesia.
“Kita semua berharap skuad bola sepak kebangsaan China akan menang tetapi saya tak dapat cari asas untuk skuad kebangsaan meraih kemenangan,” tambahnya.
Selepas tiga perlawanan, China berada di tangga terbawah Kumpulan C tanpa sebarang mata. Manakala Indonesia di tangga kelima dengan tiga mata selepas diikat Bahrain 2-2.
Justeru, aksi di Qingdao pada 15 Oktober ini dilihat peluang buat kedua-dua pasukan meraih kemenangan pertama dalam Kumpulan C.