Sebuah portal Indonesia dibidas ramai peminat bola sepak Malaysia kerana menimbulkan persepsi negatif dan palsu terhadap pemain tengah negara, Hector Hevel.
Portal tersebut mendakwa Hevel menjalani proses naturalisasi bagi membolehkan beliau menyertai kelab gergasi Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT).
Portal itu turut menggunakan nama portal MakanBola sebagai sumber untuk menjustifikasikan dakwaan mereka.
“Pemain naturalisasi baru Malaysia, Hector Hevel Serrano yang baru debut memperkuat Malaysia saat melawan Nepal, Hector mengaku mendapat jaminan bergabung ke klub JDT,” kata portal itu.
“Agar dapat bermain di JDT menjadi salah satu alasan pemain baru Naturalisasi Malaysia, Hector Hevel setuju untuk membela Tim Nasional Malaysia!
“Hector Hevel juga menyebut bahwa banyak pemain Malaysia di luar negeri (diaspora), yang mau bermain untuk Tim Nasional Malaysia karena ada kemungkinan dapat bergabung dengan JDT.”
Sebaik kenyataan itu disiarkan pada awal pagi 31 Mac lalu, ia mengundang reaksi pantas bukan saja daripada peminat bola sepak negara tetapi juga MakanBola.
“Jangan putar belit kenyataan yang kami tulis sebelum ini,” kata MakanBola di ruang komen portal tersebut.
Seorang penyokong bernama Harris Saron mengingatkan portal Indonesia itu bahawa Hevel ialah pemain berdarah warisan dan bukannya naturalisasi seperti didakwa.
“Naturalisasi dengan warisan pun tak reti beza. Macam mana jadi pentadbir halaman sukan ini,” katanya.
Seorang lagi peminat bernama Ayara Ayelip turut mengingatkan portal tersebut untuk menyemak semula tulisan mereka.
Ini kerana berdasarkan komen Hevel, beliau tertarik dengan reputasi JDT terutama dari segi kemudahan yang dimiliki dan keluhuran budi DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor.
“Orang Indonesia suka buat fitnah ke? Tiada pula dengar berita yang kata dia sertai Malaysia sebab nak sertai kelab JDT.
“Dia cuma kata kerana padang dan pusat latihan JDT serta kebaikan TMJ yang buat dia main untuk Malaysia. Celah mana ya sebab nak sertai JDT?” ujarnya.
Turut senada dengan Ayara Ayelip ialah seorang lagi penyokong bernama Muhammad Amirul Naim. Dia merasa hairan sebelum aksi menentang Nepal, Hevel dilabel pemain gred D dan tidak akan membantu skuad Harimau Malaya.
Selepas pemain berusia 28 tahun itu membantu Malaysia menewaskan Nepal 2-0, dia tidak menyangka cerita ini pula dijaja oleh portal Indonesia.
“Itu hari perlekeh Hector ini gred D dan sebagainya. Bila kawan itu main padu, cerita ni pula keluar,” komennya.
Bisa Hevel dijangka ditagih skuad negara menjelang aksi kedua kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun.