Pemain bintang Vietnam, Nguyen Quang Hai telah kembali ke kancah bola sepak Vietnam selepas meninggalkan kelab Perancis, Pau FC pada Julai lalu.
Karier selama satu tahun Quang Hai di Perancis tidak seperti yang diharapkan apabila khidmatnya banyak digunakan bersama skuad simpanan sahaja berbanding skuad utama yang beraksi di Liga 2 Perancis.
Baru-baru ini media Vietnam telah pun mendedahkan berapakah gaji yang diterima Quang Hai bersama Cong An Ha Noi sejurus selepas kembalinya beliau ke Vietnam.
Difahamkan Quang Hai hanya menerima gaji sebanyak USD 4100 (RM18935) sebulan yang mana ianya masih sedikit jika hendak dibandingkan dengan pemain-pemain bintang lain yang beraksi di Liga Malaysia mahu pun Liga Thailand.
“Quang Hai dipercayai memperoleh pendapatan sekitar VND100 juta (AS$4,100) daripada Cong An Ha Noi FC selepas kepulangannya dari Perancis,” dedah VnExpress.
Quang Hai telah menamatkan kontrak setahun lebih awal bersama Pau FC. Beliau hadir ke Pau pada Julai 2022 dan ditawarkan kontrak dua tahun namun disebabkan kurangnya pendedahan bersama pasukan utama, beliau mengambil keputusan pulang semula ke Vietnam.
Nama Quang Hai menjadi tumpuan banyak pihak selepas menjadi nadi utama pasukan kebangsaan Vietnam sejak tahun 2018 lagi.
Antara pencapaian membanggakan yang pernah diraih adalah membantu Vietnam merangkul pingat emas Sukan Sea 2019 dan Juara Piala AFF edisi 2018. Beliau juga menjadi watak utama Vietnam yang mara ke pusingan kelayakan terakhir Piala Dunia 2022.