Media Vietnam mula ketakutan dengan Harimau Malaya menjelang aksi kedua Kumpulan F, Kelayakan Piala Asia 2027 antara Malaysia vs Vietnam.
Skuad kendalian Peter Cklamovski bermula cemerlang selepas membenam cabaran pasukan ke-175 dunia, Nepal dengan keputusan 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim pada 25 Mac lalu.
Cabaran seterusnya menanti skuad kebangsaan adalah menentang pasukan 109 dunia, Vietnam bagi aksi kedua di gelanggang keramat, Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Media di Vietnam mula menzahirkan kerisauan terhadap lautan penyokong setia Harimau Malaya yang bakal menenggelamkan aura pasukan Vietnam kendalian Kim Sang-sik di Bukit Jalil.
Berdasarkan kenyataan yang dikongsikan, media Vietnam iaitu VnExpress memandang serius terhadap aura yang bakal bergema di Bukit Jalil termasuklah harapan besar Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya, Rob Friend.
“Kami teruja untuk menyambut kehadiran Vietnam ke Bukit Jalil pada 10 Jun bagi satu perlawanan yang dijangka penuh debaran dan emosi.
“Ini bukan sekadar aksi kelayakan, ini adalah detik untuk rakyat Malaysia bersatu di belakang Harimau Malaya dan menunjukkan kekuatan semangat kebangsaan kita,” ujarnya.
Rob yakin usaha untuk membina sebuah pasukan kebangsaan yang kukuh memerlukan sokongan padu oleh rakyat Malaysia bagi merealisasikannya.
“Kami sedang membina sesuatu yang istimewa. Kami tak sabar untuk melihat para penyokong memenuhi Bukit Jalil dan menjadikannya malam yang akan dikenang selamanya,” tambah kenyataan tersebut oleh MalaysiaNT.
Sebagai rekod, antara 2018 dan 2021 menjadi saingan antara Vietnam–Malaysia bawah jurulatih Park Hang-seo dan Tan Cheng Hoe.
Vietnam sejak itu telah mengukuhkan penguasaan, mengalahkan Malaysia 3-0 dalam kedua-dua peringkat kumpulan Piala AFF 2020 dan 2022.