Kemenangan dramatik menerusi jaringan pada masa kecederaan ke atas Kelantan United, memacu Sri Pahang ke kelompok tiga teratas Liga Super buat pertama kali.
Namun ia tidak cukup untuk menutup kekecewaan pengendali skuad tok gajah, Fandi Ahmad yang jelas terkilan dengan mutu permainan barisan pemainnya.
Fandi Ahmad mengakui aksi pada Isnin, adalah antara yang terburuk ditunjukkan Sri Pahang musim ini.
“Saya memang tak puas hati, bila lawan team kelompok bawahan jer pemain macam terlebih yakin, main longlain, lesu, tak bermaya. Saya selalu ingatkan, game ni ada dua babak, kita kena perform di kedua-dua babak.
“Tapi malam ini lagi teruk daripada yang selalu, biasanya ada juga kita serang waktu separuh masa tapi kali ini totally tak ada.
“Persefahaman pun takde, kurang motivasi dan mereka macam terlalu letih. Mujur kita bangkit daripada tidur dan menyerang walaupun sudah masuk masa kecederaan. Agak risau juga dengan serangan balas mereka, tapi pemain lawan juga banyak yang cramp, kita ambil kesempatan situ,” ujar Fandi Ahmad.
Tambahnya lagi, “Masalah kita di tengah, hantaran bola, penyerang. Mereka cuba bermain direct ball ke atas, tapi apabila tak cukup pemain di atas, tak cukup sokongan, kita hilang bola dengan mudah. Pemain terpaksa naik turun jadi penat.”
Aksi di Stadium Darul Makmur menyaksikan kedua-dua begitu hampir mengakhiri perlawanan dengan keputusan seri tanpa jaringan sebelum hadir jaringan Stefano Brundo pada minit keempat masa kecederaan.