“Menjadi No.2 Kepada ‘Si Gila’ Lehmann Boleh Jadikan Kita Gila” – Bekas Penjaga Gol Arsenal
Trivia
Arsenal.com
Advertisements

Arsenal masih kekal sebagai satu-satunya pasukan yang pernah menjulang Liga Perdana Inggeris tanpa tewas walau satu pun perlawanan dalam semusim (invincibles) pada 2003/2004.

Skuad Arsenal ketika itu dibarisi pemain-pemain berkualiti dan berkelas dunia di setiap posisi, setiap pemain memainkan peranan penting dalam musim cemerlang mereka itu.

Bagaimanapun ada seorang pemain walaupun membarisi skuad utama malah berada di bangku simpanan dalam lebih 30 perlawanan, tetapi tidak pernah merasai aksi walaupun seminit.

Advertisements

Ianya Graham Stack, penjaga gol kedua the gunners di belakang Jens Lehmann.

Arsenal mengesahkan kejuaraan ketika masih ada empat perlawanan dalam tangan, justeru sepatutnya tiada sebab pemain-pemain simpanan tidak mendapat minit permainan, jadi apa puncanya dia tidak dapat merasai peluang bermain?

Penjaga gol kelahiran England itu mendedahkan Lehmann adalah penyebabnya. Menurutnya, Lehmann adalah seorang yang ‘gila-gila’, dan cukup sukar untuk berpuas hati.

Advertisements

“Tipu jika saya kata tak kecewa kerana satu minit pun tak dapat nak main, saya satu-satunya pemain skuad utama yang tak main langsung.

“Menjadi no.2 kepada si gila Lehmann boleh menjadikan kita sebagai gila. Dia matang tapi kadang bila datang sewel dia, dalam latihan suka bertekak dan cari gaduh dengan rakan sepasukan dan dia bawa perangai sama dalam perlawanan.

“Pernah juga saya terfikir, ‘kalau gini gaya kau, sumpah kau akan kena kad merah dan aku yang akan tertekan nak jaga rekod tanpa kalah ni, nanti kalah jangan pula salahkan aku‘. Nasib baik ia tidak berlaku,” ujar Stack berseloroh.

Advertisements

“Sebenarnya saya ada peluang untuk diturunkan menuju ke penghujung musim iaitu selepas kami mengesahkan kejuaraan dengan keputusan seri menentang Spurs di tempat lawan.

“Perlawanan itu berkesudahan 2-2 dan Jens sangat tak puas hati sebab gagal kekalkan clean sheet malah dia rasa gol penyamaan Spurs pada minit akhir ketika itu adalah kerana kesilapannya. Dia menyalahkan diri sendiri.

“Jadi dia mahu tebus kesilapan pada baki aksi (ada lagi empat perlawanan), dia begitu bengang dan sukar untuk menenangkan dia, dia mahu menang (piala) dengan clean sheet dan tiga mata, itu standard dia tetapkan kepada diri sendiri dan dia tidak berpuas hati ia tidak berlaku.

Advertisements

“Ia adalah memori yang saya takkan lupa, dan musim yang diharungi itu penuh dengan cerita. Untuk melakukan apa yang kami lakukan adalah sangat istimewa.

“Saya suka perasaan itu (jadi juara) walaupun tak bermain, menjadi sebahagian daripada sejarah manis. Kalau ikutkan pada usia muda itu (22 tahun) saya memang belum bersedia untuk menjadi nombor 1 di Arsenal, ia terlalu awal bagi saya,” kata Stack.

Jens Lehmann dibawa masuk pada musim tersebut menggantikan David Seaman dan menjadi satu-satunya pemain yang beraksi dalam kesemua 38 perlawanan, hanya melepaskan 26 gol.

Di sebalik tidak bermain walau seminit, Graham Stack sebenarnya ada peranan besar kerana dialah bertanggungjawab membantu menyediakan Jens Lehmann sebelum perlawanan dengan melakukan aktiviti sparring dan memanaskan badan bersamanya, memandangkan ketika itu jurulatih penjaga gol tidak boleh bersama pasukan.

“Tanggungjawab jatuh kepada saya untuk menyediakan Jens sebaik mungkin agar dia dapat beraksi pada tahap terbaik. Prestasi yang dia akan tampilkan akan mempengaruhi keputusan perlawanan, jadi secara tidak langsung ia tekanan besar kepada saya pada setiap hari perlawanan – tekanan yang berbeza dengan mereka yang turun beraksi.

“Bayangkan saya seorang penjaga gol muda perlu mengerah sepenuh kudrat dan tenaga untuk memastikan seorang penjaga gol berpengalaman berada dalam keadaan fizikal dan mental yang betul sebelum perlawanan, itu kerja saya.

“Dan saya melakukannya dengan serius, kalau saya tak buat begitu, siapa tahu sekiranya Jens tidak gembira, mungkin dia tidak dapat beraksi dengan baik, mengalami kecederaan, mengharungi detik-detik buruk, anda boleh melihatnya dalam pelbagai perspektif berbeza,” ujarnya.

Graham Stack yang merupakan pemenang Piala FA Remaja 2000 bersama Arsenal, sebenarnya merupakan penjaga gol pilihan ketiga bagi musim 2003/2004 tetapi dinaikkan sebagai pilihan kedua berikutan kecederaan dialami Stuart Taylor pada awal musim.

“Taylor mengalami kecederaan jari, tapi bukan lama pun. Saya fikir dia mungkin akan tersisih 5-6 perlawanan jadi sementara itu saya menjadi pilihan untuk berada di bangku simpanan.

“Malah saya fikir jika Taylor tersisih lama sekalipun, mungkin Arsenal akan mencari seseorang lebih berpengalaman. Tapi prestasi baik saya di Piala Liga, membuatkan mereka kekal dengan saya sebagai no.2 dan ia peluang yang tidak boleh saya lupakan.”

Stack turut memberitahu bahawa mentaliti di bilik persalinan adalah kunci utama kejayaan the gunners ketika itu, selain kualiti pengurusan Arsene Wenger dan dia berbangga dapat mengenali dengan cukup dekat semua individu di sebalik kejayaan tersebut.

“Anda lihat pasukan itu, pengalaman yang kami ada, pemain-pemain kebangsaan, pemenang Piala Dunia, pemain dengan pengalaman di Liga Juara-Juara, himpunan pengalaman dan kualiti dalam satu pasukan.

“Perkara lebih besar adalah kepimpinan – Sol Campbell, Martin Keown, Dennis Bergkamp, Patrick Vieira, Jens – mereka adalah pemain matang dan pemimpin, mempunyai kepercayaan diri yang tinggi dan percaya satu sama lain, mereka sentiasa bersedia untuk cabaran dan memberi tentangan.

“Dalam 90 minit kami sebagai satu pasukan sentiasa ada kepercayaan boleh menang dan tewaskan sesiapa sahaja dan dari situ keghairahan itu membuak.

“Ia bukan sekadar satu keyakinan tapi kami terjemahkannya. Kalau kami masuk ke bilik persalinan di separuh masa pertama ketinggalan satu atau dua gol sekalipun, tidak pernah pada satu tahap kami fikir kami goyah dan memikirkan kekalahan.

“Akan ada sahaja seseorang dalam pasukan yang menyuntik semangat, atau berkata sesuatu yang membuatkan kami mahu bermain lebih baik.

“Untuk memikirkan saya pernah berkongsi satu bilik persalinan dengan pemain berkelas dunia dan individu-individu menakjubkan ini adalah satu perkara hebat pernah berlaku dalam karier saya. Banyak saya belajar dari mereka,” tambah Stack lagi.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram