Pengurus Fenerbahce, Jose Mourinho menempelak sistem perseteruan bola sepak di Liga Turki yang hanya dikawal oleh sebuah kelab.
Semua sedia maklum mengenai perseteruan antara dua kelab gergasi di Turki, Galatasaray dan Fenerbahce yang sering kali mengundang kontroversi apabila bertemu di atas padang.
Terdahulu, Mourinho mengkritik pemain-pemain Galatasaray ketika kedua-dua kelan bertemu dalam aksi Liga Turki yang berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan pada Februari lalu.
Tindakan Mourinho itu telah dikecam hebat oleh Galatasaray dan pihak kelab membuat laporan polis terhadap Mourinho atas dakwaan jenayah berbentuk perkauman kepada rakyat Turki.
Menerusi satu sesi temu bual eksklusif bersama TNT Sports, Mourinho menjelaskan perbezaan antara perseteruan kelab Galatasaray dan Fenerbahce yang sudah melebihi had sukan bola sepak.
Menurut Mourinho, perseteruan di Turki dikawal oleh sistem yang didominasi oleh sebuah kelab sahaja sehingga mereka menganggap liga di negara itu ibarat kepunyaan mereka.
”Di Turki, perseteruan di ini bukan hanya sekadar bola sepak, ia adalah sistem yang dikawal oleh sebuah kelab sekaligus menjadikan liga ini mereka yang punya, dan ya, baunya agak busuk.”
”Fenerbahce adalah sebuah kelab yang berusaha memecah dominasi oleh Galatasaray, namun ini bukan dominasi bola sepak tetapi ini adalah dominasi sistem.”
”Perkara ini yang menjadikan tugas di sini begitu mencabar sekali,” ulas Jose Mourinho panjang lebar kepada pihak TNT Sports.
Mourinho dan Fenerbahce kini bakal bertemu kelab Scotland, Rangers dalam aksi pusigan 16 terbaik UEFA Europe League (UEL) di laman sendiri pada awal pagi Jumaat.