Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor memberikan solusi kepada kelab lain dalam industri bola sepak Malaysia.
Baru-baru ini, baginda dalam satu hantaran memaklumkan bahawa masih ada masa untuk membubarkan Liga Malaysia selepas beberapa pasukan dikhabarkan bakal menarik diri.
“Masih ada masa lagi untuk bubar liga. Boikot beramai ramai. Tunjuk kepada dunia mentaliti bolasepak Malaysia,” coret Tunku Ismail di laman X.
DYAM Tunku Ismail juga memberi pandangan bahawa kelab-kelab di Malaysia perlu memiliki perancangan yang lebih teratur untuk memastikan kejayaan pada masa hadapan.
Baginda memberitahu bahawa kejayaan yang dikecapi oleh skuad Harimau Selatan ketika ini telah dirancang kira-kira 7 tahun yang lalu.
“Kita mesti mempunyai perancangan dan penyelesaian yang betul. Apa sahaja yang anda lihat berlaku hari ini telah dirancang sejak 2018. Bola sepak, politik dan lain-lain.
“Tanggungjawab saya dalam bola sepak ketika ini adalah untuk terus menang dan bertambah baik. Begitu juga dengan siapa yang mengendalikan kelab lain.
Baginda juga tidak boleh berbuat apa-apa dengan segelintir pihak yang tidak senang dengan kejayaan JDT namun perancangan pasukan masing-masing perlu diatur dengan lebih rapi.
“Gagal merancang, gagal berjaya. Anda tidak suka saya menang, saya tidak boleh membantu anda. Tetapi pemimpin anda boleh membantu anda.
“Mereka mesti merancang untuk menghalang saya. Hal ini kerana saya tidak akan menghentikan apa yang saya lakukan,” tambahnya di laman X.