Bekas jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon telah merekrut pemain import pertamanya bersama kelab Korea Selatan, Ulsan HD.
Pemain kelahiran Georgia, Giorgi Arabidze disahkan menjadi pemain pertama yang dibawa masuk ke kelab gergasi Korea Selatan itu di bawah kepimpinan Pan-gon.
Arabidze adalah seorang pemain yang mampu beraksi di pelbagai posisi seperti tengah menyerang dan juga di bahagian sayap kanan.
Menerusi ruangan komen di laman Facebook Ulsan HD, terdapat pengguna Facebook dipercayai dari Georgia menegaskan bahawa corak permainan Arabidze persis Lionel Messi.
“Kalian menandatangani ‘Messi Georgia’. Banyak ledakan akan terhasil,” coret David Kupunia di ruangan komen Ulsan HD.
Pemain berusia 26 tahun itu dibawa masuk dari kelab Georgia, Torpedo Kutaisi dan menerusi tinjauan di laman Transfermarkt, Ulsan HD telah membelanjakan sebanyak 371 ribu euro untuk mendapatkan bekas pemain kebangsaan Georgia itu.
Kehadiran Arabidze ini menjadikan beliau sebagai pemain import keenam buat Ulsan selepas pasukan itu turut mempunyai lima pemain import sedia ada iaitu Matheus Sales, Darijan Bojanic, Ataru Esaka, Gustav Ludwigson dan Yago Cariello.
Ulsan HD dijadualkan bakal bertemu Daegu FC pada 10 Ogos ini yang mana ianya merupakan perlawanan pertama buat Kim Pan-gon sebagai jurulatih pasukan itu menggantikan Hong Myung-bo yang kini dilantik sebagai pengurus skuad kebangsaan Korea Selatan.