Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Mohd Shazli Mohd Shaik mengakui pengelola liga itu berdepan kesukaran berkongsi jadual penuh Liga Super.
Ini kerana antara kekangan yang dihadapi MFL ialah kemas kini jadual perlawanan Shopee Cup oleh Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF).
Ini menyukarkan MFL mengeluarkan senarai penuh jadual Liga Super untuk musim 2025/26. Ini termasuk jadual untuk dua pasukan yang akan beraksi dalam Shopee Cup, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC.
Selain itu, MFL juga perlu mengambil kira kedua-dua pasukan itu bersaing di peringkat Asia. JDT akan beraksi dalam Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) dan Selangor (Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2)).
“Sehingga sekarang, kita belum menerima apa-apa makluman rasmi daripada AFF selepas undian kejohanan tersebut (Shopee Cup).
“Bila tiada jadual tersebut, kita tidak boleh buat blok jadual membabitkan pasukan JDT dan pasukan Selangor. Dan seperti semua sedia maklum, JDT beraksi dalam ACLE dan Selangor dalam ACL2.
“Ini memerlukan jadual tersebut dan jika kita dapat secepat mungkin, secepat mungkin juga kita akan lepaskan jadual penuh liga pada musim akan datang,” katanya.
JDT dan Selangor berdepan cabaran berbeza dalam Shopee Cup. Merah Kuning berdepan cabaran juara edisi 2024/25, Buriram United dalam Kumpulan A.
Harimau Selatan pula perlu berdepan finalis ACL2 dari Singapura, Lion City Sailors (LCS) dan juara V. League 1, Thep Xanh Nam Dinh.