Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Stuart Ramalingam mendedahkan mahu menambah unit sistem bantuan video pengadil (VAR) untuk Liga Malaysia (Liga M).
Ketika ini, Liga M memiliki empat unit VAR untuk setiap perlawanan liga. Walau bagaimanapun, dua aksi pembukaan liga tidak dapat menggunakan VAR kerana masalah teknikal.
Atas sebab itu, Stuart melihat bilangan unit VAR sedia ada dalam liga perlu ditambah. Ini kerana pertambahan unit VAR akan membantu pengendali liga itu bukan saja dari segi logistik, penyelenggaraan dan pergerakan unit tersebut.
Malah, ini akan membantu MFL menempatkan satu unit VAR kekal untuk mengendalikan perlawanan di Sabah dan Sarawak.
“Buat masa ini kita sudah ada empat unit tetapi ia tidak mencukupi. Empat unit ini adalah mengikut kemampuan kita kerana dengan VAR bukan hanya membabitkan operasi tetapi juga penyelenggaraan.
“Saya rasa kita perlukan sekurang-kurangnya tujuh set kerana kita mahu mengurangkan risiko membabitkan aspek penerbangan apabila unit itu akan dihantar untuk perlawanan di Sabah dan Sarawak.
“Sebab itulah kita berfikir perlu adanya satu unit yang tetap di sana kerana peralatan yang sensitif dan berat seperti ini, sudah pasti ada risiko kerosakan jika selalu diterbangkan.
“Tetapi kita bernasib baik kerana ada sistem yang sama digunakan di Likas dan kita sedang mendapatkan kelulusan untuk menggunakan sistem itu dalam Liga Malaysia (Liga M). Jadi kita akan ada lima unit VAR selepas ini,” katanya.
Penambahan unit VAR dijangka menelan kos yang mahal sekitar RM6 juta hingga RM8 juta. Menurut Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, kos ini bukan sekadar meliputi unit, peralatan dan perisian sistem berkenaan.
Malah, ini turut merangkumi kursus dan latihan yang perlu dilalui pegawai perlawanan untuk menjadi pegawai VAR bertauliah.