Ketua Pegawai Eksekutif Kuching City FC, Iswandi Ali Hassan tegaskan bahawa kelab Liga Malaysia perlu segera tunjukkan kesediaan untuk berubah jika mahu melihat kejayaan jangka panjang hasil pelaksanaan penswastaan oleh Malaysian Football League (MFL).
Menurut Iswandi, usaha penswastaan yang dijalankan MFL sejak beberapa tahun lalu telah membuka laluan besar ke arah pembentukan liga yang lebih profesional dan mampan.
“Saya melihat pelaksanaan penswastaan Liga M sebagai satu langkah positif dan penting untuk kemajuan bola sepak ke arah yang lebih profesional dan berdaya saing,” katanya.
Beliau menambah, “Ia penting untuk membina kelab yang lebih kukuh, bukan sahaja dari segi kewangan tetapi juga dari aspek pentadbiran.”
Dalam hal ini, Iswandi turut memuji usaha MFL yang aktif menganjurkan bengkel, sesi libat urus serta menyediakan garis panduan bagi membantu kelab memahami dan mematuhi piawaian yang ditetapkan.
“Ya, MFL sangat membantu. Melalui bengkel dan sebagainya, mereka membuka ruang kepada kelab untuk memahami serta mematuhi standard yang ditetapkan,” jelasnya lagi.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa kejayaan transformasi ini tidak hanya bergantung kepada peranan MFL semata-mata, sebaliknya bergantung kepada komitmen kelab itu sendiri.
“MFL proaktif dan banyak membantu, tapi akhirnya ia bergantung kepada kelab itu sendiri, sama ada mereka mahu berubah atau tidak,” tegas Iswandi.
Beliau turut menolak dakwaan bahawa penswastaan menjadi punca kelab-kelab bergelut, sebaliknya menekankan bahawa sistem yang sedia ada memberi peluang untuk kelab menjadi lebih berdikari jika digunakan dengan betul.
Kejayaan Kuching City, yang menamatkan saingan Liga Super 2024-2025 di tangga keempat, jelas membuktikan bahawa kelab mampu berjaya sekiranya mereka komited terhadap pembangunan dalaman dan pengurusan yang berstruktur.