Malaysian Football League (MFL) menafikan bahawa pihak pengurusan Kuala Lumpur City FC telah menghantar surat rayuan berkenaan pemotongan 6 mata kepada badan induk tersebut.
MFL dalam satu kenyataan rasmi memaklumkan bahawa KL City FC telah menghantar surat susulan pada 12 Ogos lalu berhubung keputusan hukuman pemotongan 6 mata yang bertarikh 5 Ogos 2024 kepada MFL.
MFL bagaimanapun menjelaskan bahawa surat yang dihantar tersebut hanyalah sebagai satu notis dengan niat untuk melakukan rayuan terhadap keputusan yang dikeluarkan oleh First Instance Body (FIB) merujuk kepada frasa “berhasrat untuk mengemukakan pelan dan cadangan terperinci kepada YBhg. Datuk bersama dengan Presiden baharu KLFA dalam masa terdekat”.
Hal ini merujuk kepada keratan surat yang dikongsikan dengan jelas menyatakan keinginan pihak pengurusan kelab untuk mengemukakan cadangan terperinci kepada Presiden MFL berkenaan rayuan pemotongan mata tersebut.
Surat tersebut bukanlah surat rayuan secara rasmi tetapi hanya memaklumkan hasrat pengurusan KL City untuk membuat rayuan serta hasrat mengemukakan pelan dan cadangan terperinci selepas pemilihan Presiden baharu Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA).
“MFL kemudiannya menerima surat baharu pada 24 Oktober 2024 bertarikh 23 Oktober bertajuk “Rayuan Keputusan Siasatan Jawatankuasa FIB Terhadap Kuala Lumpur City FC”. Surat ini menyatakan rayuan susulan surat mereka sebelum ini dan turut menyatakan bahawa mereka ingin membuat rayuan,” jelas MFL.
MFL memaklumkan berkenaan proses asas rayuan kebiasaannya disertakan dengan dokumen sokongan daripada agensi masing-masing sebagai bukti.
Hal ini bertujuan untuk membuktikan pelan ke hadapan dan perlu menjelaskan keputusan awal oleh FIB itu sama ada ianya tersasar, tersilap atau berat sebagai justifikasi selain perlu menyatakan mengapa rayuan tersebut adalah wajar dipertimbangkan.
MFL pada masa yang sama akan menghantar Unit Perlesenan MFL ke KL City FC untuk membantu mereka dalam mengemukakan rayuan sebenar bagi dihantar kepada FIB untuk pertimbangan keputusan mereka.

Sebelum ini, Presiden KLFA, Syed Yazid Syed Omar mempertahankan kenyataan bahawa pihaknya sudah menghantar surat rayuan berhubung tuntutan enam mata yang telah dipotong oleh FIB.