Malaysia Football League (MFL) hari ini mengumumkan pasukan Selangor secara sah akan beraksi di pentas Asia.
Dalam satu hantaran yang dimuat naik MFL, Selangor akan menjadi wakil dari Liga Malaysia yang akan beraksi di Asia untuk musim 2024/2025. Slot ke Asia ini menjadi milik Selangor selepas skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu menamatkan kempen sebagai Naib Juara Liga Super 2023.
Juara Liga Super 2023, Johor Darul Ta’zim (JDT) pula akan membawa nama Malaysia dalam kempen AFC Champions League Elite (ACLE).
Sebelum ini, MFL telah memaklumkan mengenai slot pertandingan anjuran Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bagi musim 2024/2025.
“Juara Liga Super 2023 akan beraksi di pertandingan kelab AFC Tier 1 manakala juara Piala FA akan mendapat slot ke pertandingan kelab AFC Tier 2.”
“Sekiranya juara Liga Super dan juara Piala FA bagi musim 2023 adalah kelab yang sama, maka juara Liga Super akan beraksi dalam pertandingan kelab AFC Tier 1 dan naib juara Liga Super pula akan layak bertanding dalam saingan kelab AFC Tier 2.”
Bagi musim 2024/2025, AFC telah memperuntukkan dua slot pertandingan kelab AFC bagi Tier 1 dan Tier 2.
Berdasarkan perubahan baharu mengenai format pertandingan kelab AFC bagi musim 2024/2025, JDT selaku juara Liga Super 2023 akan beraksi di AFC Champions League Elite (ACLE) manakala Selangor sebagai naib juara Liga Super 2023 menjadi wakil Malaysia di pentas AFC Champions League 2 (ACL2).