Gelagat bekas pemain pertahanan Manchester City, Micah Richards merayakan kemenangan Arsenal dalam saingan Liga Juara-Juara UEFA (UCL) menjadi bualan peminat bola sepak.
The Gunners mencipta kejutan dengan menewaskan Real Madrid 3-0 dalam aksi suku akhir pertama di Stadium Emirates.
Dua gol istimewa Declan Rice dan Mikel Merino memastikan Arsenal membawa bekalan tiga gol untuk aksi timbal balik di Bernabeu.
Namun begitu, gelagat Richards meraikan kemenangan The Gunners yang menjadi bualan peminat bola sepak.
Sebaik saja Rice menyumbat gol pertama tuan rumah pada minit ke-58, beliau dilihat tunduk sebagai tanda penghormatan kepada Arsenal. Satu lagi klip video menunjukkan beliau terlalu gembira sehingga mencium lantai.
Video gelagat Richards dimuat naik CBS Sports Golazo ke media sosial. Gelagat beliau bukan saja membuatkan Rice dan legenda Arsenal, Thierry Henry ketawa berdekah-dekah.
Malah, ini membuatkan ramai peminat di media sosial tidak kering gusi dengan kerenah Richards di studio CBS Sports.
Seorang peminat bernama Hot Local Nun menyifatkan reaksi beliau itu normal sebagai penyokong bola sepak. “Macam mana anda tidak menyukai Micah (Richards), beliau ada kelas,” katanya di X.
Seorang lagi peminat bernama Sloves_26 pula menganggap reaksi Richards bertepatan dengan statusnya sebagai penyokong Arsenal. “Ini penyokong Arsenal,” ujarnya.
Real Madrid perlu mengatasi defisit tiga gol pada 17 April ini jika mahu mara ke peringkat separuh akhir.