Selepas meninggalkan Selangor pada pertengahan musim lepas, ramai ingin tahu destinasi terbaru jurulatih Jerman, Michael Feichtenbeiner. Kini, Feichtenbeiner telah mendapat tugas baru sebagai jurulatih pasukan kebangsaan Myanmar.
Feichtenbeiner mengambil alih secara rasmi sebagai jurulatih pada 1 Mac ini. Beliau menggantikan rakan senegara, Antoine Hey yang meninggalkan pasukan pada Januari tahun ini.
Selain berperanan sebagai jurulatih pasukan senior Myanmar, Feichtenbeiner juga bertanggungjawab menguruskan skuad bawah 23 tahun (B-23) mereka. Ini bermakna tugasan antarabangsa terawalnya ialah Sukan SEA di Kemboja yang berlangsung pada Mei ini.
“Dengan menyertai pasukan Myanmar, saya telah memenuhi impian peribadi saya. Saya sentiasa teruja melatih pasukan kebangsaan. Oleh sebab itu, saya mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Bola Sepak Myanmar kerana memberi kepercayaan kepada saya.
“Disebabkan ada seorang pemain Myanmar (Hein Htet Aung) yang mempunyai kontrak dengan Selangor, saya mengetahui sedikit pasal bola sepak Myanmar pada masa silam.
“Saya tidak sabar melaksanakan tugas baru ini kerana kami mempunyai peluang menambahbaik struktur sedia ada atau melakar pencapaian lebih cemerlang,” katanya kepada portal Transfermarkt.
Feichtenbeiner bakal dibantu oleh penolong jurulatih dan penganalisis, Lorenz Baumann dan jurulatih penjaga gol, Mike André Kost. Selain Selangor, beliau juga pernah melatih Stuttgarter Kickers, MPPJ Selangor dan Bintang Medan.