Dengan Piala Carabao berada dalam tangan, tiga lagi trofi menjadi buruan Man Utd termasuk Liga Perdana Inggeris (EPL). Dan walaupun Arsenal ketika ini mendahului carta EPL, ada yang percaya United mampu mengejar dan menjulang trofi tersebut pada akhir musim.
Hal ini dinyatakan oleh penyerang West Ham United, Michail Antonio semasa menjadi tetamu The Footballer’s Football Podcast. Ini kerana pasukan yang dibimbing Erik ten Hag itu mampu mengejar Gunners dan jiran setempat mereka, Manchester City berdasarkan prestasi semasa.
“Saya akan memberi anda pendapat yang tidak dijangka di mana saya akan memilih Manchester United memenangi liga.
“Sekarang ini mereka mempunyai semua momentum. Manchester City mempunyai prestasi tidak menentu sepanjang musim, begitu juga dengan Arsenal yang mengalami perkara sama sejak kembali dari Piala Dunia.
“Marcus Rashford akan membawa pasukan Manchester United ini dan nampaknya dia akan membawa mereka ke arah kejuaraan,” katanya.
Antonio mempunyai sebab kukuh mengatakan hal sedemikian. Dalam perlawanan pusingan kelima The Emirates FA Cup baru-baru ini, United berupaya mengejar dan mengalahkan Hammers 3-1 walaupun pada satu ketika ketinggalan 1-0.
Melihat keupayaan mereka untuk bangkit, tidak hairanlah mengapa Antonio yang beraksi dalam perlawanan itu memilih Red Devils sebagai calon juara.