Pengendali skuad futsal Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC), Juan Antonio Miguel Garcia berwaspada dengan cabaran yang bakal dihadirkan Shah Alam City.
Ini kerana pasukan itu menduduki tangga kedua liga dengan empat mata selepas perlawanan. Selain itu, Shah Alam City sudah membuktikan mereka pasukan yang liat dengan mengikat Pahang Rangers 6-6.
Justeru, Miguel Garcia mahu barisan pemain Harimau Selatan kekal konsisten bila beraksi di atas gelanggang untuk merekodkan kemenangan ketiga dalam Divisyen 1 Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL).
“Saya fikir mereka (Shah Alam City) pasukan yang sukar. Saya fikir mereka juga menunjukkan rasa tidak takut (terutama) bila menentang Pahang (Rangers).
“Jadi, ini satu perlawanan sukar buat JDT esok. Tatkala pasukan lain kalah atau seri dalam perlawanan mereka, JDT sudah memenangi dua perlawanan.
“Tidak mustahil untuk JDT menang perlawanan seterusnya tetapi kita perlu kekalkan fokus setiap kali beraksi dalam perlawanan,” katanya kepada Nadi Arena hari ini.
Harimau Selatan bakal turun menentang Shah Alam City di Kompleks Sukan Panasonic pada jam 8.30 malam esok.