Penyerang Negeri Sembilan FC, Mika Junco mahu pasukan itu kembali cemerlang dalam Liga Super.
Sejak musim 2024/25 bermula, Negeri Sembilan hanya meraih satu kemenangan, satu seri dan enam kekalahan dalam liga.
Perubahan positif ditunjukkan skuad Rusa apabila K. Nanthakumar diumumkan sebagai ketua jurulatih yang baru. Bekas pemain kebangsaan itu membimbing Negeri Sembilan mengikat Kedah Darul Aman FC (KDA FC) 2-2 pada 17 Ogos lalu.
Rentak itu diteruskan dalam dua aksi persahabatan membabitkan kelab Indonesia, PSMS Medan dan PDRM FC. Kedua-dua perlawanan berakhir dengan kemenangan memihak kepada Sang Rusa.
Mika melihat tiga keputusan ini memberi momentum positif kepada Negeri Sembilan menjelang aksi liga seterusnya dengan Perak FC.
“Aksi persahabatan tempoh hari adalah perlawanan yang baik untuk kami selepas menang dan membuktikan pasukan ini semakin positif untuk kembali bangkit.
“Kita akan lihat balik dekat mana kekuatan yang ada pada Perak untuk cuba mengatasi mereka dan saya percaya dengan perancangan daripada jurulatih,” katanya.
Pemilik nama penuh Miguel Angel Junco Martinez itu turut mengakui permulaan perlahan Sang Rusa dalam liga memberi kesukaran kepada pasukan itu.
Pada masa sama, Mika percaya selepas ini, Negeri Sembilan akan kembali cemerlang sekaligus mengecapi mata dalam perlawanan-perlawanan akan datang.
“Secara jujurnya, permulaan musim ini agak perlahan untuk kami dan kekalahan demi kekalahan memang tidak mudah untuk pasukan ini.
“Tetapi saya yakin, untuk aksi-aksi selepas ini, Negeri Sembilan akan bertambah cemerlang dan kami ingin terus meraih mata pada perlawanan akan datang,” tambahnya.
Negeri Sembilan bakal berdepan Perak di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada 14 September ini.
Aksi ini juga dilihat peluang buat Sang Rusa membalas dendam kepada The Bos Gaurus. Ini selepas pasukan utara tanah air itu meraih kemenangan di Paroi pada 1 Oktober 2023.