Jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Nafuzi Zain menganggap Milos Gordic adalah seorang penyerang yang mempunyai kualiti, begitu juga dengan seorang lagi penyerang iaitu Ebenezer Assifuah.
Biarpun Gordic menerima pelbagai reaksi negatif di kalangan penyokong Sang Kenari, Nafuzi menjelaskan bahawa Gordic dan Assifuah adalah dua penyerang yang berlainan peranannya.
Gordic atau Assifuah? Segalanya bergantung kepada perlawanan yang dihadapi Kedah kerana ianya menjurus kepada taktikal yang diterapkan untuk perlawanan tersebut.
“Milos (Gordic) ni, penyerang yang ada kualiti. Dua type pemain yang berbeza (dengan Assifuah). Lihat kepada kerajinannya, lihat kepada pergerakannya tanpa bola. Saya rasa sumbangan beliau dari awal ada banyak kemajuan dari segi permainan.
“Cuma dari segi jaringan sahaja. Sebab kalau penyerang ni bila jaringkan gol, mereka akan nampak bagus. Bila Assifuah menjaringkan gol, mungkin nampak Assifuah lebih baik dari segi jaringan.
“Dua type penyerang yang berbeza. Bergantung kepada perlawanan dari segi taktikal di mana pemain yang paling sesuai untuk kita gunakan,” jelas Nafuzi Zain di Youtube KDA FC.
Kedah kini berada di dalam momentum kemenangan selepas mencatatkan dua kemenangan berturut-turut ke atas Penang dalam saingan Liga Super dan suku akhir Piala FA tempoh hari.
Kedah bakal bertemu Penang sekali lagi dalam aksi suku akhir kedua Piala FA yang dijadualkan pada 5 Julai depan yang bakal dilangsungkan di Stadium Darulaman.