Penyerang Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Milos Gordic kelihatan kecewa selepas dikeluarkan ketika aksi Liga Super menentang Kuching City FC pada Jumaat.
Kekecewaan Gordic tidak terhenti di situ sahaja apabila video penyerang kelahiran Serbia itu dimarahi rakan sepasukan di bangku simpanan telah tular di laman Facebook.
Dalam video yang dimuatnaik oleh Hijau Kuning Supporters itu, penjaga gol Kedah, Ifwat Akmal dilihat telah meluahkan rasa tidak puas hati kepada Gordic.
Video pendek itu telah tular di laman Faceboook dan telah dimainkan sebanyak 46 ribu kali oleh pengguna.
Hasil tinjauan di ruangan komen laman berkenaan, rata-rata penyokong Kedah turut meluahkan rasa tidak puas hati terhadap prestasi penyerang berusia 31 tahun itu.
Sebelum ini, pengendali Kedah, Nafuzi Zain menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai masalah dengan sumbangan Gordic dalam setiap perlawanan yang diturunkan.
“Apa yang penting untuk saya ialah sumbangan pemain, dapat mempersembahkan satu permainan yang baik untuk membantu pasukan. Walaupun tidak menjaringkan gol, dapat tiga mata, itulah yang paling penting untuk pasukan.
“Setakat ini, bagi Milos (Gordic), sumbangan dia, saya tiada masalah cuma jaringan saja. Saya tau dia frust tidak menjaringkan gol. Expectation tinggi sebagai penyerang Kedah. Yang penting jangan putus asa. Selagi saya berpuas hati, teruskan usaha dan jaringan akan tiba,” luah Nafuzi kepada KDA FC.
Bagi saingan Liga Super musim ini, Gordic masih belum menemui jaringan selepas 6 perlawanan manakala bagi saingan Piala FA, Gordic sudah menyumbang satu jaringan.
Khidmat Gordic dijangka akan terus ditagih bagi memantapkan serangan Sang Kenari dalam saingan musim ini bersama seorang lagi penyerang import, Ebenezer Assifuah.