Penyerang Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Milos Gordic mahu membantu pasukan itu menamatkan kempen Liga Super dalam kelompok tujuh pasukan terbaik.
Selepas tersingkir di peringkat separuh akhir MFL Challenge Cup, Sang Kenari tewas dalam tiga aksi terakhir liga.
Ini termasuk kekalahan 3-0 di tangan Kuching City FC dalam aksi tertunda yang diadakan pada 12 Mac lalu.
Kini, anak buah Victor Andrag berdepan juara liga musim 2024/25, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Darul Aman pada 29 Mac.
Meskipun sedar cabaran hebat yang bakal dihadirkan JDT selaku pasukan pelawat, Gordic percaya Kedah akan berusaha menunjukkan prestasi terbaik di atas padang.
Ini kerana keputusan positif daripada aksi berkenaan mampu membantu pasukan itu berada dalam kelompok tujuh pasukan terbaik liga.
“Ia satu perlawanan yang sukar. Semua orang di Malaysia tahu Johor pasukan terbaik. Kita menjangkakan sesuatu seperti itu,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
“Tapi tidak semua perkara yang anda tahu. Kita mahu berada dalam kelompok tujuh pasukan terbaik. Kita mahu dan kita akan beri yang terbaik untuk capai matlamat itu.”
Pemain Kedah turut mendapat suntikan motivasi menjelang aksi menentang JDT apabila mendapat duit raya sebanyak RM200,000.