Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang kini menggalas tugas untuk membutirkan pingat emas buat Malaysia.
Setelah mengutip 2 pingat gangsa dari sukan badminton, kini tumpuan kontinjen negara mula terarah ke velodrom apabila Datuk Azizulhasni Awang bakal memulakan aksinya pada Rabu.
Datuk Azizulhasni atau lebih dikenali sebagai The Pocket Rocket Man akan bersaing dalam dua acara kegemarannya iaitu keirin dan pecut di temasya Olimpik Paris kali ini.
Menurut Datuk Azizul, beliau teruja untuk turun beraksi di temasya kali ini memandangkan ini bakal menjadi Olimpik terakhir buatnya dan berjanji akan memberi aksi terbaik.
”Saya tidak sabar untuk memulakan acara pada hari esok (Rabu) untuk temasya Olimpik ke-5 dan juga yang terakhir buat saya,” ujar pemenang dua pingat di pentas Olimpik itu di laman Instagram.
”Mewakili kontinjen Malaysia adalah pengalaman paling bermakna sepanjang karier saya. Saya berbangga untuk memberikan aksi yang terbaik untuk kali terakhir.”
Selain beliau, seorang lagi pelumba negara, Shah Firdaus Shahrom juga bersama berjuang membawa nama Malaysia selain Izzah Izzati Asri yang bersaing bagi kategori wanita.
Datuk Azizul dan Shah Firdaus akan memulakan pusingan awal bagi acara pecut pada Rabu sebelum turun dalam acara keirin pada Sabtu ini.
Manakala, Izzah yang merupakan pemenang pingat emas Kejohanan Asia akan bersaing dalam acara pecut pada Rabu dan acara keirin pada Jumaat ini.
Semak jadual acara berbasikal trek: Di Sini.