Nama pemain pertahanan Selangor FC, Mohammad Abualnadi mencuri perhatian FIFA baru-baru ini.
Ini kerana pemain pertahanan berusia 23 tahun itu tersenarai antara enam bintang meningkat naik Asia untuk tahun 2024.
Selepas diberi peluang membuat penampilan pertama untuk Jordan oleh jurulatih, Jamal Sellami, Abualnadi pantas merebut peluang dalam kesebelasan utama.
Ini terbukti apabila beliau membantu Jordan kekal tanpa kalah dalam tiga perlawanan Kumpulan B pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026.
Abualnadi membantu Al-Nashama meraih satu kemenangan dan dua keputusan seri. Ini termasuk kemenangan besar 4-0 ke atas Oman pada 16 Oktober 2024.
Prestasi baiknya bersama Jordan turut membantu Abualnadi tampil cemerlang bersama Selangor. Sejak menyertai Merah Kuning pada September lalu, beliau sudah merekodkan sembilan penampilan dalam semua kejohanan termasuk Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).
Selain Abualnadi, bintang muda Indonesia, Marselino Ferdinan turut tersenarai dalam senarai sama.
Pemain sayap Oxford United itu terpilih selepas membantu Indonesia menewaskan Arab Saudi pada November lalu. Kemenangan itu meletakkan Tim Garuda di tempat ketiga menjelang dua aksi kelayakan seterusnya pada Mac ini.
Abbosbek Fayzullaev (Uzbekistan), Ali Jasim (Iraq), Marcus Meloni (Emiriah Arab Bersatu (UAE)) dan Seol Young-woo melengkapkan senarai bintang meningkat naik Asia yang dipilih FIFA.