Moneyball Brentford FC: Model Bisnes Luar Biasa Yang Menguntungkan Kelab Kecil
Blog
Advertisements

Istilah Moneyball semakin popular di kalangan orang awam apabila filem lakonan Brad Pitt dan Jonah Hill itu menemui penonton. Filem itu sebenarnya diadaptasi daripada sebuah buku tulisan Michael Lewis yang berjudul Moneyball: The Art Of Winning Unfair Game; yang mengisahkan bagaimana Billy Beane, seorang bekas pemain baseball yang kemudiannya menjadi pengurus kepada pasukan Oakland Athletic menggunakan data dan juga statistik dalam merekrut pemain, meminimumkan harga tetapi memberikan pulangan dan kejayaan yang membanggakan.

Dalam filem itu Brad Pitt memerankan tokoh Billy Beane manakala Jonah Hill pula bermain sebagai Peter Brand (nama fiktif yang menggantikan nama tokoh sebenar iaitu Paul DePodesta yang tidak selesa nama beliau digunakan), side kick penting yang membantu kejayaan Beane.

Matthew Benham; Genius Yang Membeli Brentford FC

Pada tahun 2006, Brentford FC mengalami krisis kewangan yang meruncing. Saat itulah Matthew Benham muncul. Sebagai seorang penyokong tegar kepada Brentford sejak kecil, Benham tidak teragak-agak mendahulukan pinjaman sebanyak 700000 ribu £ kepada sekumpulan penyokong Brentford supaya dapat membeli sedikit kepemilikan kelab tersebut.

Advertisements

Siapakah Matthew Benham? Bagaimana beliau mempunyai wang sebanyak itu?

Matthew Benham pada mulanya hanyalah orang biasa yang pintar. Beliau merupakan graduan Universiti Oxford dalam jurusan Fizik dan telah lulus pada tahun 1989. Apa yang peliknya adalah kerana selepas itu beliau bekerja di bidang kewangan selama 12 tahun. Satu bidang yang tidak berkaitan sama sekali dengan Fizik. Benham pernah menjawat jawatan Vice President di Bank of America. Pada tahun 2001 beliau meninggalkan bidang kewangan sebelum terjun ke bidang perjudian dengan menyertai Premier Bet, sebuah syarikat judi olahraga. Di situ Benham berguru dengan Tony Bloom, salah seorang penjudi terkemuka di dunia.

Pada tahun 2003 Benham menubuhkan syarikat judi beliau sendiri yang diberi nama Smart Odds. Daripada pengalaman dan penghasilan daripada bidang perjudian inilah Benham memiliki wang yang cukup banyak untuk menyelamatkan Brentford FC daripada terus terpuruk.

Advertisements

Benham terus menambah kekayaan beliau dengan wang hasil syarikat judi ini sehinggalah pada tahun 2012 Benham menjadi pemilik Brentford FC dengan pegangan saham sebanyak 96% dan pegangan itu meningkat kepada 100% pada tahun 2014. Pada tahun 2014 juga Benham telah memborong saham FC Midtjylland sebanyak 10 juta dollar untuk menjadi pemilik kelab yang berpengkalan di Denmark itu; kelab di mana Dion Cools bermain sekarang.

Tujuan Benham membeli saham FC Midtjylland tidak lain adalah untuk menguji konsep Moneyball yang bakal beliau terapkan kepada Brentford FC juga. Oleh itu, Benham terus melantik Rasmus Ankersen; kenalan beliau sebagai Pengerusi FC Midtyjlland. Ankersen bukanlah individu biasa. Beliau merupakan seorang bekas pemain bola sepak, seorang jurulatih yang memiliki lesen A EUFA, seorang business consultant dan juga seorang penulis.

Moneyball Ala Brentford FC

Tidak hanya di FC Midtyjlland, Benham turut memberikan Ankersen jawatan di Brentford sebagai Co-Director Football bersama seorang lagi individu iaitu Paul Giles. Paul Giles adalah Ketua Unit Penilaian Kuantitatif di Smart Odds. Beliau sangat mahir dengan data dan statistik. Ini dilakukan Benham sebagai permulaan kepada konsep Moneyball yang ingin beliau terapkan di Brentford. Kemasukan Paul Giles dan Rasmus Ankersen membuatkan jurulatih Brentford ketika itu iaitu Mark Warburton angkat kaki meskipun beliau berjaya membawa Brentford naik daripada divisi League One kepada divisi Championship. Semuanya gara-gara Warburton tidak setuju dengan pendekatan dan cara baru merekrut pemain berdasarkan statistik dan angka – perubahan yang cuba dibawa Benham, Ankersen dan juga Giles.

Advertisements

Dengan segala pengalaman beliau bermain dengan angka, data, statistik dan algoritma dipadu pula dengan pengalaman jatuh bangun Ankersen dalam dunia bola sepak, Benham, Ankersen serta Giles mula membangunkan konsep Moneyball ala Brentford FC yang bertujuan:

Membangunkan sebuah skuad kompetitif berlandaskan teori ekonomi dengan modal kecil demi keuntungan besar.

Dengan konsep dasar: Mengevaluasi nilai seorang pemain menggunakan data dan statistik.

Advertisements

Brentford FC menggariskan tiga polisi baru dalam merekrut pemain iaitu:

  1. Menggunakan statistik dan data. Meskipun seiring berjalannya waktu cara ini dipadukan dengan scouting melalui video dan juga scouting secara nyata tetapi pada dasarnya data dan statistik tetap menjadi asas Brentford dalam merekrut pemain.
  2. Mengelak daripada membeli pemain England kerana Brentford percaya harga pemain England selalu ‘menggelembung’ tidak masuk akal dalam pasaran pemain. Contoh: Harry Maguire, Jack Grealish. Biasanya Brentford mencari pemain di liga-liga yang tidak popular dan di divisi-divisi bawahan seperti di Divisi 2 Liga Perancis, Liga Denmark, Divisi 3 dan Divisi 4 Liga Inggeris untuk mendapatkan pemain murah tetapi berkualiti tinggi dan bakal dikembangkan demi memberikan kejayaan kepada pasukan dan kepada pemain tersebut.
  3. Meletakkan had umur dalam pembelian pemain. Brentford biasanya tidak akan merekrut pemain yang berumur lebih 23 tahun kerana mengambil kira faktor perkembangan, nilai jualan balik dan lain-lain faktor.

Moneyball Adalah Model Bisnes Yang Menguntungkan

Apabila berbicara soal pembelian dan penjualan pemain dalam konteks matematik mudah, sudah tentulah keuntungan akan terhasil apabila kita membeli dengan harga yang murah dan menjual kembali dengan harga yang mahal. Dengan menggunakan statistik dan mencari di divisi-divisi bawahan, Brentford membeli pemain-pemain handal dengan harga yang murah, para pemain tersebut membantu meningkatkan kedudukan Brentford dalam liga dan apabila terdapat pasukan lain yang ingin membeli pemain-pemain tersebut Brentford akan menjual mereka dengan harga yang tinggi. Untung, bukan? Antara pemain yang melalui transformasi Moneyball ala Brentford ini adalah:

  1. Neal Maupay – dibeli ketika Maupay menikmati bola sepak di kelab divisi 2 Ligue 1 iaitu State Brestois 29 dengan harga murah dan dijual kepada Brighton & Hove Albion dengan harga tinggi. Lihat di mana Maupay berada sekarang. Beliau menikmati bola sepak di EPL dengan menjadi salah seorang penyerang pilihan pengurusnya iaitu Graham Potter.
  2. Ollie Watkins – dibeli daripada Exeter City pada musim 2017/18 dan dijual kepada Aston Villa pada musim 2020/2021, sudah pasti dengan harga yang tinggi. Lihat saja prestasi Watkins kini yang turut menjadi pemain harapan Aston Villa di jentera serangan.
  3. Said Benrahma – dibeli daripada OGC Nice ketika Benrahma bermain secara pinjaman di Chatearoux dengan harga 2.7 juta £ dan dijual kepada West Ham United pada musim 2020/21 dengan harga 26 juta £. Benrahma juga kini merupakan sandaran David Moyes.

Tidak hanya membuat keuntungan dalam urusan jual beli pemain, kenaikan Brentford ke Premier League juga bakal memberikan pulangan lumayan kepada Benham dan Brentford. Menurut audit yang dilakukan Deloitte, Brentford bakal untung 280 juta £ dalam 5 tahun ke depan jika mampu bertahan di musim pertama berada di EPL tanpa didegradasi.

Malah, dalam 3 tahun pendapatan boleh naik ke angka 160 juta £ hasil penjualan tiket, duit tajaan, distribusi wang hak penyiaran dan parachute payment (wang yang dibayar jika pasukan terdegradasi daripada Premier League kepada Championship) andai Brentford terdegradasi semula ke Championship.

Pada musim 2014/15 ketika Brentford mula bermain di Championship, anggaran nilai skuad Brentford adalah paling kecil iaitu 13.60 juta € tetapi pada permulaan musim 2021/2022 ketika Brentford menjejakkan kaki di Premier League nilai itu berubah kepada kurang lebih 150 juta €.

Bayangkan, dengan modal Benham cuma £700,000 saat membantu kelab kecintaannya ini, kini berapa besar keuntungan yang beliau hasilkan dengan mengaplikasikan Moneyball. Bahkan, bukan Benham sahaja yang menerapkan konsep ini dalam bola sepak. Sosok di balik Moneyball dalam sukan baseball iaitu Billy Beane kini merupakan pemegang saham kelab Barnsley yang bermain di Championship. Sudah tentu beliau mengaplikasikan Moneyball kepada pasukannya itu. Mungkin sedikit masa lagi kita dapat lihat Barnsley pula bermain di EPL.

Penutup

Seringkali dalam tulisan-tulisan saya, saya cuba mengaitkannya dengan senario bola sepak di Malaysia. Bolehkah konsep Moneyball ini diimplemantasikan di sini? Daripada segi scouting dan jual beli pemain, mungkin boleh atau mungkin ia sudahpun berlaku. Terdapat beberapa contoh pemain yang ditemukan di liga M3 atau M4, LBR atau di liga-liga komuniti yang aktif sehingga pemain-pemain tersebut berjaya menyarung jersi pasukan kelab di Liga Super kini.

Namun jika melibatkan perekrutan atau pembelian pemain berdasarkan data dan statistik; saya kurang pasti. Dahulu kecoh apabila ada pasukan di Liga Super yang merekrut pemain hanya berdasarkan referensi video pemain tersebut di YouTube sahaja. Apabila pemain tersebut sudah dibeli, nyata persembahannya tidak sesuai ekspektasi.

Saya kira dengan perkembangan perihal statistik serta data di Malaysia kini, dengan kemunculan individu-individu yang mahir dan mula bercakap tentang bola sepak berdasarkan 2 parameter tersebut, tidak salah jika kelab-kelab di Liga Super menggunakan khidmat mereka untuk membantu menjayakan Moneyball ini. Memang hasilnya tidak akan datang bergolek, setidaknya ia sudah dibuktikan Brentford.

Rujukan:
Irfan Pras, 2021, “Moneyball”, Cara Brentford Kalahkan Tim Kaya dan Promosi Ke Premier League, startingeleven.id
Alex Stewart, 2018, What is Moneyball, Tifo Football, YouTube.com
Moneyball, 2011, IMDb.com

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram