Menjelang aksi Liga Super PDRM menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) malam ini, jurulatih PDRM, Azzmi Aziz sedar pasukannya bakal berdepan tugas sukar. Tetapi dengan moral pasukan masih berada pada tahap tinggi, beliau percaya pasukannya mampu mencipta kejutan ke atas JDT malam ini.
Ini merupakan kali kedua dua pasukan ini bertemu selepas perlawanan pusingan 16 pasukan terbaik Piala FA beberapa hari lepas. Mengakui ia amat mencabar dalam mengekalkan tahap moral anak-anak buahnya, Azzmi percaya PDRM masih bersemangat untuk bersemuka dengan JDT malam ini.
“Ya, saya fikir dari segi kejurulatihan, saya rasa amat mencabar. Kita nak menguruskan dua perlawanan menentang JDT bukan sesuatu yang mudah.
“Cumanya saya masih percaya (dan) kita di sini sangat realistik 3-0 JDT hari itu sebenarnya keputusan positif untuk kita. Kita tengok dia dapat dua gol melalui penalti, cuma untuk separuh masa kedua dia tak dapat masuk jadi benda itu sangat positiflah untuk kita dan bergerak ke depan.
“Keseluruhannya, moral pasukan berada pada sangat baik dan saya fikir pasukan amat bersemangat bila bertemu semula dengan JDT nanti,” katanya dalam sidang media pra-perlawanan kepada Astro Arena semalam.
Kedua-dua pasukan bakal bertemu di Stadium MBPJ malam ini dengan matlamat berbeza. Bagi tuan rumah PDRM, mereka berpeluang memintas KL City di tangga ketujuh sekiranya meraih kemenangan malam ini.
Sementara Harimau Selatan yang dibimbing Esteban Solari pula melihat satu lagi kemenangan mampu menjarakkan kedudukan mereka dengan Selangor di tempat kedua dengan jurang lima mata.