Skuad wanita Malaysia memiliki motivasi tinggi menjelang aksi terakhir Kumpulan H Kelayakan Piala Asia Wanita 2026 menentang Korea Utara.
Perkara ini dikongsikan jurulatih Malayan Tigress, Joel Cornelli apabila ditanya tahap moral anak buahnya itu.
Skuad negara semakin berkeyakinan apabila berjaya meraih dua kemenangan dalam dua aksi kumpulan. Lebih menarik, gawang Malaysia yang dikawal Azurin Mazlan juga masih belum dibolosi.
Atas sebab itu, Cornelli percaya anak buahnya cukup bersemangat untuk mencipta kejutan ke atas pasukan kesembilan dunia itu.
“Matlamat pusingan kelayakan ini ialah perlawanan ini (perlawanan menentang Korea Utara). Sama juga selepas perlawanan menentang UAE, matlamatnya masih sama.
“Kejayaan yang kita capai dalam perlawanan-perlawanan ini, keyakinan yang diraih dari dua aksi terakhir. Jadi, sekarang kita menghadapi perlawanan terakhir kelayakan, untuk kita dan Malaysia.
“Tahapnya cukup tinggi dan saya percaya kita akan berikan persembahan terbaik sebab pemain-pemain kita berhak meraih ganjaran atas kerja keras mereka (layak ke Piala Asia Wanita),” katanya.
Malaysia dan Korea Utara akan berentap bagi menentukan juara Kumpulan H. Hanya juara kumpulan saja yang akan layak ke Piala Asia Wanita 2026.