Moto3: Hakim Danish Tamatkan Kemarau Podium Malaysia
UltraSukan
ZK Racing

Litar Mugello, Itali menjadi saksi kepada pencapaian hebat pelumba Moto3 Malaysia, Hakim Danish Ramli dalam perlumbaan Grand Prix (GP) Itali.

Ini kerana pelumba berusia 18 tahun itu mengakhiri kemarau podium pelumba Malaysia dalam saingan Moto3 selama 10 tahun.

Kali terakhir pencapaian ini dilakar pada 2016 menerusi Khairul Idham Pawi. Khairul Idham yang mesra disapa Super KIP pada ketika itu mencipta kejutan dengan menjuarai GP Argentina di litar Termas de Rio Hondo, Santiago del Estero.

Beliau mengatasi cabaran rakan sepasukan dari Sepanyol, Jorge Navarro dan pelumba KTM dari Afrika Selatan, Brad Binder.

Kini selepas 10 tahun, giliran Hakim Danish pula yang menjadi sebutan peminat Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP). Ini selepas Hakim Danish menduduki tempat ketiga GP Itali.

Dua jaguh Sepanyol, Brian Uriarte dan Alvaro Carpe masing-masing menduduki tempat pertama dan kedua perlumbaan.

Keputusan ini menyaksikan Hakim Danish meraih 16 mata untuk mengekalkan kedudukan ke-11 carta keseluruhan pelumba dengan 43 mata.

Beliau kini hanya dipisahkan empat mata daripada pelumba di tangga ke-10, David Munoz dari pasukan Liqui Moly Dynavolt Intact GP. Maximo Quiles yang mewakili CFMOTO Valresa Aspar Team pula terus menerajui carta dengan 145 mata.