Pasukan futsal Johor Darul Ta’zim (JDT) merakamkan kemenangan kelapan dalam saingan Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) 2024 setelah tidak berdepan masalah untuk menumpaskan Terengganu pada Rabu.
JDT bertandang ke Kuala Terengganu dengan momentum terbaik setelah meraih kemenangan bersih dalam kesemua tujuh perlawanan liga, berbeza dengan Terengganu yang kini berada di tangga kedua terbawah dengan hanya tiga mata.
Kelibat pemain import baharu JDT, Bruno Taffy semestinya menjadi tumpuan peminat futsal tanah air walaupun memulakan aksi dari bangku simpanan manakala Terengganu menaruh harapan buat Zuhairi Mohamad di pintu gol.
Permainan bermula baik dengan JDT jelas menguasai bola dengan beberapa gerakan awal berjaya menguji kekebalan benteng Terengganu.
Jaringan pembukaan berjaya diraih menerusi tonggak JDT, Awalluddin Mat Nawi seawal minit ke-3 sebelum Harimau Selatan terus selesa di hadapan dengan gol kedua hasil penyudah daripada Firdaus Ambiah enam minit kemudian.
Penyokong tuan rumah kembali ceria apabila Alif Mat Amin berjaya menembusi gawang JDT yang dikawal oleh Azrul Hadee untuk merapatkan kedudukan beberapa minit sebelum memasuki bilik persalinan.
Separuh masa pertama tamat, Terengganu Futsal 1-2 JDT Futsal.
Bersambung babak kedua, JDT terus mengganas dengan gol ketiga menerusi ledakan kaki kiri import baharu, Bruno Taffy sebelum Awaluddin Mat Nawi menyumbat gol kedua peribadinya yang juga jaringan keempat pasukan.
Danial Dain menambah luka tuan rumah dengan gol kelima JDT hasil percubaan dari sebelah kiri gawang Terengganu pada minit ke-28 dan rembatan jarak jauh oleh Azwan Ismail memastikan pelawat terus jauh mendahului 6-1 seminit selepas itu.
Beberapa saat sebelum aksi ditamatkan, Awalluddin yang merupakan tonggak kebangsaan tampil penuh cemerlang untuk melengkapkan malam gemilang buat anak buah Miguel Garcia dengan gol ketujuh pasukan.
Perlawanan di Stadium Negeri Kuala Terengganu berakhir dengan kemenangan 7-1 memihak JDT.
Kemenangan ini mengukuhkan lagi tempat JDT di puncak liga setelah mengharungi lapan perlawanan dengan 24 mata manakala Terengganu pula terus kekal di tangga ketujuh carta MPFL 2024 dengan tiga mata.
Selepas ini, skuad Harimau Selatan bakal melayani kunjungan Shah Alam City di Pasir Gudang pada 7 Julai sementara Terengganu akan berdepan Gombak TOT United di laman sendiri pada tarikh yang sama.