Johor Darul Ta’zim (JDT) mengukuhkan kedudukan di tangga teratas Malaysia Premier Futsal League (MPFL)2025 apabila menumpaskan Pahang Rangers pada Sabtu.
Aksi di Pasir Gudang menjadi tumpuan ramai apabila kedua-dua pasukan berada pada prestasi terbaik dengan JDT dan Pahang Rangers kini menduduki dua tangga teratas MPFL.
Dua tonggak kebangsaan, Awalluddin Mat Nawi serta Saad Sani menjadi taruhan JDT sementara Pahang Rangers pula menurunkan peledak, Felipe De Souza untuk memburu gol.
Seawal minit pertama, JDT terlebih dahulu memimpin aksi apabila sepakan jarak jauh oleh penjaga gol, Azrul Hadee mengelirukan para pemain dan terus menerjah ke gawang lawan.
Kesilapan pemain JDT yang hilang bola di bahagian tengah dihukum oleh jentera serangan pelawat yang mudah untuk menyumbat gol penyamaan menerusi Felipe De Souza di minit ke-17.
Kurang seminit kemudian, Bruno Taffy kembali meletakkan JDT di hadapan hasil satu rembatan leret sebelum Pahang Rangers mengikat kedudukan 2-2 menerusi ledakan Harith Naim.
Malang buat Pahang Rangers apabila Matheus Moura diarah meninggalkan gelanggang akibat kad merah dan peluang itu dimanfaatkan oleh Bruno Taffy untuk gol ketiga JDT di minit ke-19.
Separuh masa pertama, JDT 3-2 Pahang Rangers.
Kembali dari rehat, Harimau Selatan melebarkan kedudukan dengan gol keempat hasil rembatan susulan oleh Saad Sani hasil bola muntah daripada dakapan penjaga gawang lawan, Zainulzahin.
Pantang mengalah, Pahang Rangers kembali merapatkan 4-3 menerusi rembatan deras Harith Naim berpunca daripada sepakan percuma Felipe De Souza untuk menewaskan Azrul Hadee.
Usaha tanpa henti oleh anak-anak buah Luis Fonseca bagi memburu jaringan penyamaan tampak tidak membuahkan hasil apabila pertahanan JDT terus kukuh menahan asakan.
Aksi di Stadium Tertutup Pasir Gudang berakhir dengan keputusan 4-3 memihak JDT.
Kemenangan di hadapan penyokong sendiri ini meletakkan JDT terus kekal di tangga teratas MPFL dengan mengutip 9 mata manakala Pahang Rangers berada di kedudukan kedua.
Aksi MPFL akan berehat seketika bagi memberi laluan buat cuti Hari Raya Aidilfitri sebelum bersambung pada 19 April dengan JDT akan bertemu TOT United tatkala Pahang Rangers menentang Sabah.