Skuad futsal Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mengekalkan rekod 100% dalam Divisyen 1 Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL).
Ini selepas JDT membelasah Kedah dalam aksi ketujuh Divisyen 1 di Stadium Tertutup Pasir Gudang. JDT makin sukar digugat selepas merekodkan enam kemenangan berturut-turut.
Kedah pula mahu bangkit selepas tewas dalam dua aksi terakhir mereka di tangan Pahang Rangers dan TOT United FC.
Tidak sampai seminit perlawanan bermula, Harimau Selatan terlebih dahulu di hadapan menerusi Awalluddin Mat Nawi.
Keceriaan kem JDT tidak bertahan lama apabila Firdaus Radzi menyamakan kedudukan pada minit kelapan. JDT kembali mendahului menerusi Ridzwan Bakri.
Awalluddin kemudiannya mencipta hatrik dengan meledakkan dua lagi gol pada minit ke-15 dan ke-19.
Tiga gol pemain kebangsaan itu memastikan JDT mendahului Kedah 4-1 sehingga rehat separuh masa.
Bersambung selepas rehat, JDT terus melebarkan kelebihan gol mereka dengan menyumbat gol kelima perlawanan.
Tidak lama selepas itu, giliran tonggak import Harimau Selatan, Caio Cesar mencetak nama sebagai penjaring.
Rakan senegara Cesar, Bruno Taffy terus menceriakan kem JDT dengan meledakkan gol ketujuh perlawanan. Ini gol keenam beliau dalam Divisyen 1 musim 2025.
Ridzwan kemudiannya memainkan peranan sebagai pencipta gol dengan melorongkan bola yang disudahkan Taffy menewaskan penjaga gol Kedah, Syahman Idris.
Ridzwan menambah derita Kedah dengan meledakkan gol kesembilan. Abu Haniffa Hasan dan Taffy memastikan JDT mendahului 11-1.
Bekas pemain JDT, Yazid Kamaruzuan meledakkan gol kedua buat Kedah pada minit akhir permainan. Walau bagaimanapun, itu sudah terlewat untuk menghalang kemenangan Harimau Selatan.
Keputusan ini menyaksikan JDT kekal bertakhta di persada liga dengan 18 mata. Kedah pula di tangga ketujuh dengan empat mata.