Lagenda bola sepak negara, Dato’ Zainal Abidin Hassan berpendapat bahawa berkemungkinan ada yang menjadi mangsa dalam keputusan yang diambil sesebuah kelab.
Menerusi perbincangan di Nindia Bola bersama Hafizal Hamad, beliau membincangkan situasi beberapa pengendali yang telah direhatkan daripada tugasannya.
Beliau memberitahu bahawa terdapat beberapa perubahan yang berlaku dalam saingan Liga Malaysia dan merasakan bahawa pasukan-pasukan sudah kurang memberikan saingan kepada Johor Darul Ta’zim (JDT).
“Kadang-kadang ada yang jadi kambing hitam. Untuk menutup satu perkara ada yang kena kadang-kadang. Akan tetapi, bagi saya secara terus terang berdasarkan pengalaman, apa yang ketara adalah kalau dulu semua pasukan ketara memberikan saingan kepada JDT.
Beberapa faktor lain turut diambil kira termasuklah isu tunggakan gaji dan juga kualiti pemain import yang tidak dapat mengangkat standard pasukan.
“Mungkin dari segi kewangan pun kukuh, isu gaji pun tidak kedengaran, ada pun sedikit sahaja. Kedua, pemain import yang beraksi dalam saingan liga kita ni. Setiap pasukan ada sekurang-kurangnya dua pemain yang digeruni.
Zainal Abidin juga tertanya-tanya mengenai keputusan Nidzam Jamil tidak lagi bersama Selangor sungguhpun momentum pasukan sedang memuncak.
“Ketiga, jurulatih yang tidak diberi kepercayaan. Mesti ada sebab kenapa Nidzam Jamil berhenti. Ketika ini, Selangor berada pada kedudukan kedua liga dan nombor satu di ACL2,” katanya kepada Astro Arena.
Kerinduan terhadap suasana stadium yang dibanjiri oleh penyokong juga amat dirindui oleh Zainal seperti suatu ketika dahulu.
“Kita juga tak tahu apa yang berlaku secara dalaman. Kita dah makin kekurangan penyokong. Kadang saya bertanya kepada rakan saya, penyokong berkurang. Dulu penyokong Pahang, Kelantan dan KL sentiasa penuh.
“Lama-kelamaan sengat bola sepak Malaysia akan hilang,” tambahnya.
Ketika ini, terdapat tiga jurulatih yang sudah direhatkan daripada tugasan iaitu Tomislav Steinbruckner (Terengganu), Akmal Rizal (Penang) dan juga Nidzam Jamil (Selangor).