Pendidikan
Advertisements

MakanBola.com, Petaling Jaya – Apabila Marcelo Bielsa tidak muncul-muncul di padang latihan dan para pembantu beliau diam seribu bahasa tanpa memberikan arahan kepada para pemain berkaitan latihan mereka pada hari tersebut selesai mengendalikan sesi warming up, itu adalah tanda-tandanya.

Bielsa akhirnya muncul juga seraya berkata, “Today we are going to play murderball.”

Itu adalah kalimat yang paling tidak digemari para pemain yang dilatih Marcelo Bielsa, jurulatih berasal dari Argentina yang diberi gelaran El Loco (bermakna Si Gila dalam Bahasa Sepanyol) kerana sifat keghairahan melampau beliau terhadap bola sepak sehingga melakukan perkara-perkara yang tidak masuk akal demi sukan yang amat beliau cintai ini.

Advertisements

Antaranya adalah:

1) Bielsa pernah mengasingkan diri beliau di sebuah biara selepas kegagalan Argentina melepasi peringkat kumpulan pada Piala Dunia 2002 meski dibarisi deretan pemain bertaraf bintang seperti Gabriel Batistuta, Ariel Ortega, Javier Zanetti, Hernan Crespo, Juan Sebastian Veron, Diego Simeone dan lain-lain.

Beliau tidak menerima panggilan telefon dan juga tidak menonton televisyen selama hampir 3 bulan di situ. Bielsa keluar setelah menyedari yang beliau mula bercakap dengan dirinya sendiri!

Advertisements

2) Sewaktu Bielsa berumur 25 tahun, beliau sudah mula melatih pasukan bola sepak di peringkat universiti di mana ketika itu beliau telah melakukan scouting kepada hampir 3000 pemain hanya untuk memilih 20 orang pemain bagi pasukannya itu.

3) Saat memegang jawatan sebagai jurulatih pasukan remaja kelab Newell’s Old Boys, Bielsa merasakan yang mereka kekurangan pool pemain berasal dari kawasan yang rendah daripada segi taraf ekonomi. Justeru itu, Bielsa membahagikan peta Argentina kepada 70 bahagian dan melakukan scouting di setiap daerah tersebut.
Apa yang gila adalah – Bielsa memandu kereta Fiat 147 melangkaui jarak sejauh 3000 batu untuk melakukan proses scouting tersebut kerana beliau tidak gemar menaiki pesawat.

Murderball  Marcelo Bielsa
Pemain akan melihatnya dalam keadaan takut apabila beliau berjalan meninggalkan padang kerana mereka tidak tahu jika latihan akan disambung.

4) Bielsa sememangnya terkenal sebagai seorang jurulatih yang obses melakukan kajian gaya permainan pasukan yang bakal diuruskan beliau. Bielsa pernah membawa 51 pita video kajian beliau dalam temuduga untuk jawatan jurulatih Velez Sarsfield. Beliau juga pernah membentangkan penilaian berdasarkan kod warna
bagaimana permainan Athletic Bilbao pada musim sebelumnya untuk mendapatkan jawatan pengendali kelab tersebut. Paling gila – Bielsa mengkaji serta membentangkan setiap formasi dan setiap pendekatan kelab-kelab yang bermain di English Championship (EFL) pada musim sebelumnya demi memenangi hati pemilik Leeds United FC untuk mengupah beliau. Bielsa dikhabarkan menonton beribu-ribu perlawanan bola sepak dan membangunkan taksonomi bola sepak versi beliau yang penuh dengan klasifikasi pelbagai pasukan.

Advertisements

5) Tidak hanya kajian untuk pasukannya sendiri, Bielsa juga sangat obses dengan kajian terhadap gaya permainan dan taktikal pasukan lawan. Disebabkan perkara itu, Leeds United pernah terpalit kontroversi Spygate. Bielsa dituduh menghantar pengintip untuk mengintip sesi latihan Derby County yang pada waktu itu dikendalikan Frank Lampard. Bielsa mengadakan sidang media mengejut untuk menjelaskan perkara itu. Apa yang tambah mengejutkan adalah Bielsa membentangkan data dan hasil kajiannya kepada para petugas media. Beliau mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap insiden tersebut. Bielsa berkata beliau berbuat begitu untuk mengurangkan rasa anxiety-nya.

6) Bielsa pernah mengarahkan pemain-pemain Leeds United untuk mengutip sampah selama hampir 3 jam di pusat latihan mereka bertujuan menghargai para penyokong yang membayar tiket untuk menyaksikan perlawanan pasukan The White itu.

7) Bielsa juga pernah mengarahkan pemain-pemain Leeds United supaya membiarkan Aston Villa menjaringkan gol kerana kontroversi serta pertikaian yang berlaku di dalam padang pada awalnya. Para pemain, staf kejurulatihan dan jurulatih Aston Villa berang dan menuduh pemain-pemain Leeds meneruskan permainan hingga jaringan tercipta meskipun ada pemain mereka yang terbaring kerana kecederaan.
Disebabkan terjadi kekecohan antara para pemain serta staf kejurulatihan kedua-dua pasukan, akhirnya Bielsa dengan kuasa veto beliau mengarahkan agar para pemain Leeds membiarkan Aston Villa menjaringkan gol penyamaan. Hanya ada seorang pemain sahaja yang tidak setuju dengan Bielsa dan berani bertindak menghalang gerakan pemain Aston Villa untuk menjaringkan gol tersebut iaitu kapten pasukan
Leeds – Pontus Jansson.

Advertisements

Apa sebenarnya Murderball & bagaimana iainya dimainkan?

Murderball adalah satu lagi bentuk terjemahan keghairahan dan juga keobsesan Bielsa dalam mengendalikan pasukan beliau. Murderball adalah bentuk latihan 11vs11 pemain dalam skala padang sebenar dengan intensiti sangat tinggi. Setiap pemain dipaksa berlari dan tidak boleh berhenti walau sesaat pun selagi sesi Murderball tidak ditamatkan oleh tiupan wisel Bielsa sendiri. Siapa sahaja yang berhenti berlari akan dijerit, diherdik dan dimaki oleh Bielsa dengan bahasa kasar.

Tidak ada pengadil dalam Murderball. Jika bola keluar dari garisan tepi ataupun garisan belakang, tiada lontaran ke dalam ataupun sepakan penjuru yang diambil. Sebaliknya, bola akan ditendang semula ke dalam padang oleh para pembantu Bielsa yang semuanya sudah bersedia di tepi dan juga di belakang padang. Permainan akan diteruskan semula dan semua keputusan terletak di tangan pemain yang berada di dalam padang.

Murderball sangat sukar bagi pemain kerana pemain tidak diberikan ruang memperlahankan tempo. Bagaimana mahu melambatkan tempo permainan jika mereka baru mula membina permainan dari belakang mereka sudah ditekan dengan pressing bertubi-tubi. Marcelo Bielsa tidak akan sesekali membiarkan anak buah beliau bersantai ketika sesi Murderball.Beliau berada di dalam padang sambil menjerit, berteriak serta memaki hamun pemain yang tidak berlari melakukan pressing.

Anda boleh lihat di YouTube cuplikan video Bielsa mengendalikan Murderball pasukan Athletic Bilbao di mana jurulatih yang sangat idiosinkratik ini tanpa segan silu mengeluarkan F word kepada para pemainnya. Terlihat pemain-pemain hebat seperti Iker Muniain, Markel Susaeta dan Fernando Llorente tertunduk lesu selesai sesi Murderball.

Sesi Murderball dirakam dari sudut yang agak tinggi untuk membantu pemain memahami di mana kesilapan positioning atau decision making yang mereka lakukan. Apakah sesi latihan brutal ini meningkatkan risiko kecederaan kepada para pemain? Jangan silap, kerana Bielsa bukanlah jurulatih yang semberono. Perkara pertama yang Bielsa lakukan ketika mengambil alih sesebuah kelab adalah dengan memantapkan tahap kecergasan dan fizikal pemain untuk mempersiapkan mereka dengan latihan-latihan yang keras dan berintesiti tinggi ke depannya.

Luke Ayling, pemain Leeds United ketika berbicara dalam siri Take Us Home: Leeds United terbitan Amazon Prime Video Sport mendedahkan yang Bielsa menyediakan mereka dengan latihan fizikal yang sangat ketat sehingga kebanyakan daripada mereka kehilangan 5-6 pound hanya dalam masa 2 minggu. Bielsa juga sangat terperinci dengan peratusan lemak-otot para pemainnya. Semua ini demi mengelakkan kecederaan ketika latihan berintensiti tinggi.

Walaupun tewas, pemain Leeds United tidak berhenti berlari sehinggalah wisit penamat ditiup.

Signifikan Murderball

Jika diteliti secara terperinci, Murderball secara tidak langsung bertepatan dengan tuntutan Tactical Periodisation yang pernah saya huraikan sebelum ini. Semuanya berlaku dalam satu balutan iaitu TAKTIKAL. Bielsa cuba menyediakan situasi yang paling hampir atau sangat realistik dengan hari perlawanan sebenar menggunakan seluruh padang, 11vs11 pemain. Bielsa inginkan pemain-pemainnya melakukan pressing yang sistematik ketika fasa defensive transition, maka beliau menyediakan latihan yang menjurus ke arah itu. Bielsa
mempertajam aspek PSIKOLOGIKAL para pemain beliau dengan jeritan, pekikan dan juga makian demi mengajar pemain bermain dalam tekanan tinggi. Begitu juga dengan aspek FIZIKAL. Latihan intensiti tinggi dalam ruang yang besar dan menuntut kecepatan membuat keputusan selama sekitar 20-30 minit melatih ketiga-tiga jenis muscle contraction iaitu tension(strength), duration (endurance) dan juga velocity(speed).

Lihat betapa geniusnya Marcelo ‘El Loco’ Bielsa.

Murderball adalah salah satu bentuk latihan bola sepak yang tercetus daripada kegeniusan seorang jurulatih yang pemikir seperti Marcelo Bielsa. Mampukah pasukan-pasukan di Liga Super kita mempraktikkan Murderball? Jangan cuba-cuba jika masih tidak menjaga diet dan tidak mengambil berat soal fitness. Sebagai seorang jurulatih (meski hanya memegang Lesen D), saya juga teringin untuk ‘menyeksa’ pemain-pemain dengan Murderball. Semoga hari itu akan tiba nanti.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram