Advertisement
Myanmar Gah Belasah India 5-2
UltraSukan
UltraSukan
AIFF

India terus menanti kemenangan pertama kempen kelayakan Piala Asia Futsal 2024 apabila dibelasah Myanmar 5-2 dalam aksi kedua Kumpulan E di Dushanbe hari ini.

India amat memerlukan kemenangan bagi menghidupkan peluang layak beraksi di Thailand pada tahun hadapan. Manakala Myanmar memerlukan kemenangan hari ini bagi membantu mereka layak secara merit.

Thyne Phwet Aung membuka tirai jaringan seawal minit ketiga. Bagaimanapun, India kembali menyamakan kedudukan menerusi Krista Roluahpuia lapan minit selepas itu.

Keceriaan kem India tidak bertahan lama apabila Myo Thet Aung membolosi gawang mereka yang dikawal Augustin D’mello pada minit ke-13.

India makin derita apabila David Laltlansanga menyumbat gol sendiri pada minit ke-19. Keputusan 3-1 kekal sehingga rehat.

Bersambung pada babak kedua, kedua-dua pasukan saling menyerang bagi mendapatkan gol.

India tidak berputus asa dan menyumbat gol kedua menerusi Laltlansanga pada minit ke-39. Bagaimanapun, mereka ditimpa malang apabila penjaga gol gantian, Scott Moraes dilayangkan kad merah pada minit-minit akhir permainan.

Ini membolehkan Myanmar menyumbat dua gol lewat menerusi Thet Aung (minit ke-39) dan Hlaing Min Tun (minit ke-40).

Dua kemenangan masing-masing menentang Palestin dan India sudah cukup untuk melayakkan Myanmar ke Piala Asia Futsal 2024.

Mereka mengikut jejak langkah Vietnam dan Korea Selatan yang turut mengesahkan kelayakan ke kejohanan futsal berprestij di Asia itu.