Myanmar ‘Lanyak’ Skuad Muda Brunei 8-1
MakanBola
Myanmar FF

Pasukan Myanmar Bawah 16 Tahun (B-16) bangkit daripada kekalahan pertama Kumpulan B Kejuaraan ASEAN B-16 2024 dengan membelasah Brunei di Stadium Sriwedari, Surakarta, Indonesia.

Selepas tewas kepada Kemboja dalam aksi pertama kumpulan, Myanmar perlu bangkit jika ingin mara ke separuh akhir sebagai naib juara terbaik kumpulan.

Sementara Brunei pula mahu menebus maruah selepas dibelasah 15-0 oleh Vietnam dalam satu lagi aksi awal Kumpulan B.

Separuh masa pertama menyaksikan Myanmar tampil garang dengan menyumbat tiga gol dalam tempoh 10 minit.

Thi Ha Aung membuka tirai jaringan The Asian Tigers pada minit ketujuh. Seminit kemudian, giliran Thura Min Thant pula mencipta nama sebagai penjaring.

Myanmar terus melebarkan kelebihan mereka ke atas skuad muda Brunei menerusi Nyan Aung pada minit kesembilan.

Kyaw Nyi Nyi menambah derita Brunei dengan meledakkan gol keempat pada minit ke-18. Lima minit selepas itu, gawang Brunei bocor buat kali kelima menerusi Min Thant.

Kapten Myanmar, Kyaw Thiha menyumbat gol keenam perlawanan pada minit ke-27. Tujuh minit kemudian, giliran Myo Nanda Aung menyertai senarai penjaring gol The Asian Tigers.

Myanmar terus ghairah memburu gol tetapi keputusan 7-0 kekal sehingga rehat separuh masa.

Bersambung pada babak kedua, Myanmar yang dibimbing Mita Mitchiteru semakin bersemangat memburu gol tambahan.

Walau bagaimanapun, penjaga gol Brunei, Wafiq Zikry Marsal berusaha menghalang jentera serangan lawan daripada menambah kelebihan gol mereka.

Myanmar terpaksa menunggu sehingga minit ke-57 untuk menyumbat gol kelapan menerusi Nanda Aung.

Jurulatih Brunei, Muhammad Ali Mustafa membuat beberapa pertukaran pemain bagi memperkuat kubu pertahanan pasukan itu daripada dibolosi lagi.

Penyerang Brunei, Ak Faris Abdillah memastikan mereka mendapat gol saguhati menerusi penalti pada minit akhir perlawanan. Keputusan 8-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Keputusan ini menyaksikan Myanmar memintas Kemboja di tempat kedua Kumpulan B dengan kelebihan jaringan. Kedudukan ini boleh saja berubah sekiranya Kemboja mencipta kejutan ke atas pendahulu Kumpulan B, Vietnam dalam satu lagi aksi kumpulan.

Sementara Brunei pula tersingkir daripada kejohanan selepas gagal memungut sebarang mata daripada dua perlawanan.

Selepas ini, Myanmar bakal berentap dengan Vietnam pada 28 Jun di Stadium Manahan. Sementara Brunei pula bakal berdepan Kemboja di Stadium Sriwedari pada hari yang sama.