Pengendali Terengganu FC, Nafuzi Zain beranggapan tekanan sedikit berkurang menjelang sepak mula saingan Piala Malaysia 2022 minggu depan, dengan pemansuhan peraturan away goal sepertimana diumumkan Malaysian Football League (MFL) pada Rabu.
Jurulatih berusia 45 tahun itu mengakui MFL telah membuat keputusan tepat dengan menyelaraskan peraturan itu yang menurutnya sekadar memberikan kelebihan yang tidak sepatutnya kepada pasukan lawan.
“Saya rasa apabila tiada lagi kelebihan gol tempat lawan, ia akan menjadi lebih adil dan pasukan juga kurang tekanan jika lawan ada menjaringkan gol di tempat kami.
“Tiada masalah untuk Terengganu bahkan saya rasa peraturan ini juga akan menjadikan perlawanan itu lebih sengit dan kita juga pasti akan susah nak jangka keputusan yang akan diperoleh berbanding sebelum ini.
“Sebelum ini, kalau pasukan dapat kelebihan gol tempat lawan, tekanan itu lebih tinggi dan kali ini bukan nak cakap tiada tekanan langsung, tetapi perlawanan itu akan menjadi lebih menarik sehingga ke penghujungnya”, kata Nafuzi.
Dengan pemansuhan peraturan away goal dalam kejohanan kalah mati, perlawanan yang terikat secara agregat selepas 180 minit timbal balik, akan dilanjutkan ke masa tambahan selama 30 minit.
Dan jika kedua-dua pasukan masih terikat, maka pemenang perlawanan akan ditentukan menerusi sepakan penalti.
Terengganu yang tumbang kepada JDT di peringkat separuh akhir musim lalu, dianggap sebagai satu daripada pasukan pilihan untuk melangkah ke final edisi kali ini.
Sang penyu yang masih segar dengan kejayaan muncul naib juara Liga Super seterusnya layak beraksi di Piala AFC 2023, akan menentang Sri Pahang di pusingan kedua, dengan perlawanan pertama berlangsung di Kuantan pada 27 November manakala perlawanan timbal balik pula di Gong Badak pada 1 November.
Kali terakhir mereka mara ke final adalah pada tahun 2018 di bawah kendalian Irfan Bakti, yang mana mereka tewas menerusi tendangan penalti dalam perlawanan cukup dramatik menentang Perak.