Ketua jurulatih Kedah Darul Aman, Nafuzi Zain berpuas hati dengan persembahan para pemain Kedah disebalik kekalahan tipis kepada Selangor hasil jaringan Aliff Haiqal.
Nafuzi Zain menganggap rezeki tidak berpihak kepada Kedah walaupun pasukan tersebut mempunyai beberapa peluang berharga dalam perlawanan menentang Selangor.
“Tahniah untuk Selangor, saya berbangga dengan apa yang pemain saya tunjukkan malam ini. Saya rasa bangga kerana pemain telah berikan semuanya tetapi ini bola sepak, mungkin tiada rezeki kita hari ini.
“Secara keseluruhan dari segi persembahan pemain Kedah saya berpuas hati. Kita kena faham kita bermain dengan pasukan Selangor di tempat lawan. Saya rasa semua bahagian pertahanan, tengah dan serangan telah bermain dengan baik.
“Secara individu, saya berpuas hati tetapi mungkin seri lebih bagus jika melihat persembahan Kedah. Kami perlu perbaiki kesilapan untuk perlawanan seterusnya.
“Jika bandingkan Selangor dengan Kedah memang ada perbezaan dari segi pemain, jauh berbeza tetapi dari segi persembahan dan karakter yang pemain Kedah tunjukkan, saya rasa kita tidak jauh dari mereka.” ujar Nafuzi Zain.
Kedah mengutip kekalahan pertama musim ini dan seterusnya akan bertemu Perak pada 24 Mei untuk aksi minggu ketiga Liga Super di Stadium Darul Aman.