Ketua Jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Nafuzi Zain mengakui bahawa beliau berpuas hati dengan sumbangan penyerang, Milos Gordic biarpun masih kemarau jaringan dalam saingan Liga Super musim ini.
Nafuzi berkata, beliau tiada masalah dengan apa yang disumbangkan Gordic setakat ini buat pasukan Kedah namun mengerti bahawa penyerang kelahiran Serbia itu menghadapi tekanan sebagai penyerang utama skuad Kedah.
“Apa yang penting untuk saya ialah sumbangan pemain, dapat mempersembahkan satu permainan yang baik untuk membantu pasukan. Walaupun tidak menjaringkan gol, dapat tiga mata, itulah yang paling penting untuk pasukan.
“Kalau penyerang menjaringkan gol, bagus untuk penyerang itu. Tapi kalau keputusan kita kalah, kita tetap akan kecewa.
“Setakat ini, bagi Milos (Gordic), sumbangan dia, saya tiada masalah cuma jaringan saja. Saya tau dia frust tidak menjaringkan gol. Expectation tinggi sebagai penyerang Kedah. Yang penting jangan putus asa. Selagi saya berpuas hati, teruskan usaha dan jaringan akan tiba,” luah Nafuzi kepada KDA FC selepas aksi bertemu Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) semalam.
Pada aksi Liga Super menentang KDN FC semalam, Kedah berjaya mencipta kemenangan 3-0 hasil jaringan Rizal Ghazali, Syafiq Ahmad dan Sony Norde.
Milos Gordic yang beraksi sebagai penyerang utama turut menyumbang satu bantuan gol untuk jaringan Sony Norde.
Untuk aksi seterusnya, Kedah bakal bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi saingan separuh akhir pertama Piala FA yang dijadualkan pada 19 Julai di Stadium Darul Aman.