Penyokong Perak FC perlu menunggu sedikit masa lagi untuk melihat pasukan itu kembali beraksi di Stadium Perak.
Sebelum ini, pengurusan The Bos Gaurus memaklumkan pasukan itu akan beraksi di Stadium Manjung bermula pada Oktober 2024.
Ini disebabkan kerja-kerja penaiktarafan bakal dijalankan di Stadium Perak. Ini termasuk penukaran rumput padang daripada rumput jenis Cowgrass kepada Zeon Zoysia.
Walau bagaimanapun, kelewatan kerja penaiktarafan padang stadium tersebut mengundang keluh kesah dalam kalangan penyokong The Bos Gaurus.
Situasi ini turut menarik perhatian bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perak FC, Bobie Farid Shamsudin. “Tiada komenlah,” katanya ringkas di Facebook.
Susulan itu, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) memaklumkan kelewatan itu berlaku disebabkan keperluan menaik taraf sistem saliran Stadium Perak.
Isu ini dikenal pasti MBI selepas mengadakan lawatan kerja ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Kuala Terengganu dan sesi perkongsian maklumat dengan Perbadanan Stadium Darul Makmur (PSDM).
Penaiktarafan sistem saliran dilihat perlu bagi memastikan isu padang Stadium Perak yang digenangi air tidak berulang pada masa akan datang.

“Pelaksanaan kerja ini mengambil sedikit masa kerana memerlukan pemantauan dan perincian teknikal yang teliti bagi memastikan masalah air bertakung sedia ada akan dapat diatasi selepas kerja naik taraf selesai sepenuhnya kelak.
“Pihak MBI mengenal pasti ada skop kerja tambahan selain daripada penukaran rumput serta subsoil bagi memastikan keberkesanan projek ini,” kata MBI dalam satu kenyataan.
MBI turut memaklumkan mereka komited untuk menaik taraf Stadium Perak ke tahap terbaik mengikut spesifikasi kerja yang tepat.
“MBI komited untuk memastikan proses ini berjalan dengan tersusun dan lancar agar kerja-kerja naik taraf dapat dimulakan dalam tempoh terdekat dengan spesifikasi kerja yang tepat,” ujarnya.
MBI turut memaklumkan sekiranya kerja penaiktarafan berjalan lancar, proses dijangka selesai pada Ogos ini.