Nama jaguh pecut Malaysia, Azeem Fahmi kembali menjadi bualan terutama di Amerika Syarikat (AS).
Ini kerana Azeem kini dalam kelompok 10 pelari terpantas dalam sejarah Universiti Auburn. Ini susulan kejayaan beliau melakar catatan masa 6.56 saat (s).
Rekod tersebut yang juga rekod kebangsaan dalam acara 60 meter (m) dilakar dalam Southeastern Conference Indoor Track and Field Championships di Bryan-College Station, Texas, AS.
“Makin pantas. Azeem Fahmi kini menduduki tangga kelapan Senarai 10 Pelari Terbaik Auburn untuk acara 60 m,” kata pengurusan universiti itu dalam satu kenyataan.
Rekod baru yang dilakar Azeem turut menggembirakan Pengarah Teknikal Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Robert Ballard.
“Kami amat teruja dengan Azeem Fahmi dan kesan dibawanya kepada semua orang dalam sukan olahraga di sini,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Zaki Zainal.
“la sentiasa bagus apabila seseorang memecahkan rekod kebangsaan dan ia menunjukkan kita memiliki ramai bakat yang akan muncul secara berterusan.
“Kami melihat ke depan, dia baru berusia 21 tahun dan kami amat teruja mengenai prospek masa depannya.”
Meskipun ada yang berharap Azeem dapat bersaing dalam Kejohanan Dunia Dalam Dewan 2025, jaguh pecut itu dijangka fokus untuk saingan NCAA 2025.