Selepas tamat saingan Liga Super musim 2024/25, nama penyerang Perak FC, Clayton da Silva hangat dikaitkan dengan banyak kelab terutama dari luar negara.
Khabar perpindahan ini dikongsikan wartawan sukan The Star, T. Avineshwaran. Beliau memaklumkan nama Clayton berada dalam radar enam kelab Liga Super.
Antara kelab yang dilaporkan menunjukkan minat terhadap beliau ialah KL City FC, Kuching City FC, Terengganu FC dan Sabah FC.
Selain itu, kelab-kelab dari Timur Tengah, Jerman, Latvia, Indonesia, Thailand dan Vietnam juga dilaporkan mahu mendapatkan khidmat Clayton.
“Difahamkan bahawa Clayton da Silva sedang dipantau oleh Terengganu, Sabah, Kuala Lumpur, Polis, Kuching City dan Pulau Pinang.
“Turut ada minat dari luar negara – (kelab) Indonesia, Thailand, Vietnam, Kuwait, divisyen bawahan Jerman, dan negara-negara Timur Tengah,” katanya di X.
Clayton menamatkan musim 2024/25 dengan 10 gol dan tujuh bantuan gol dalam 27 penampilan Liga Malaysia (Liga M) bersama Perak.
Bekas penyerang Corinthians itu bukan satu-satunya pemain Perak yang diintai kelab luar. Kapten The Bos Gaurus, Luciano Guaycochea juga menjadi buruan kelab-kelab terutama di Indonesia.
Juara Liga 1 Indonesia musim 2023/24, Persib Bandung dilaporkan bakal berentap dengan Terengganu, KL City dan Sabah untuk mendapatkan khidmat pemain berusia 33 tahun itu.
Dua lagi tonggak tempatan iaitu Shivan Pillay dan Haziq Nadzli turut berada dalam radar beberapa kelab Liga Super.