Pemain beregu wanita Jepun, Nami Matsuyama kagum dengan semangat juang tinggi yang dipamerkan Pearly Tan.
Pandangan itu diluahkan beliau selepas aksi suku akhir All England Open 2025 menentang Pearly dan M. Thinaah.
Matsuyama dan rakan gandingannya, Chiharu Shida meraih kemenangan ke atas beregu negara dengan kemenangan 21-17, 21-19.
Meskipun begitu, semangat juang beregu kelima dunia itu terutama Pearly mendapat pujian Matsuyama. Ini kerana meskipun pergerakannya terbatas akibat kecederaan, itu tidak menghalang pemain berusia 25 tahun itu mempamerkan prestasi baik di atas gelanggang.
Malah, Pearly mendapatkan raket gantian dalam keadaan terhincut-hincut selepas raketnya terputus ketika rali menentang Matsuyama-Shida.
Pemain Jepun itu melihat apa yang dipamerkan Pearly sepanjang perlawanan sebagai sesuatu yang mengagumkan.
“Ianya sesuatu yang mengagumkan apabila beliau (Pearly) berjuang sehingga ke akhirnya,” katanya selepas perlawanan.
Matsuyama-Shida kini bakal berdepan pilihan kedua kejohanan, Liu Sheng Shu-Tan Ning di peringkat separuh akhir.