Nasib semua pemain Harimau Malaya akan ditentukan pada sesi latihan terakhir sebelum aksi Kelayakan Piala Asia 2027 bertemu Nepal pada Selasa.
Buat masa ini, seramai 29 pemain masih menjalani latihan di bawah kendalian Peter Cklamovski namun daripada jumlah tersebut, hanya 23 pemain yang akan terpilih dalam pada aksi bertemu Nepal.
Perkara tersebut dikongsikan oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam dalam satu hantaran di laman X baru-baru ini.
“29 pemain kekal berlatih, keputusan ketepikan 6 pemain daripada skuad akhir 23 pemain akan dibuat selepas sesi latihan terakhir,” kongsi Zulhemi di laman X.
Sebelum ini, Cklamovski telah memanggil seramai 27 pemain namun jumlah pemain itu ditambah dua orang lagi dengan kemasukan Hector Hevel dan Gabriel Palmero.
Hingga ke saat ini, hanya nama Natxo Insa terpaksa digugurkan daripada skuad kebangsaan memandangkan pemain berusia 38 tahun itu sedang menjalani pemulihan selepas cedera ketika mewakili kelabnya, Johor Darul Ta’zim (JDT).
“Saya ada sebut Natxo menjalani program pemulihan individu. Berdasarkan status fizikal terbaru selepas temu bual hari itu, kita terpaksa mengetepikan beliau.
“Dan beliau juga tidak berlatih bersama kita. Ia tidak teruk, beliau menjalani proses pemulihan dan itu keputusan terbaik buat dirinya pada masa ini,” jelas Cklamovski seperti dilaporkan MakanBola.
Aksi Malaysia dan Nepal merupakan aksi pertama Malaysia di bawah kendalian jurulatih Australia, Peter Cklamovski dan revolusi Harimau Malaya.