Nasihat Faisal Halim Buatkan Pemain Cilik Ini Bangkit Semula
MakanBola
Malaysia NT

Aura yang dimiliki pemain Selangor FC dan Harimau Malaya, Faisal Halim ternyata memberi kesan buat seorang pemain cilik untuk kembali bangkit.

Pemain cilik tersebut dilihat mengalami kecederaan dalam sebuah kejohanan akar umbi. Faisal yang turut berada di situ pergi ke arah pemain cilik tersebut untuk memberikan kata-kata semangat.

“Sakit tak? Sakit dekat mana? Main bola kena kuat tak boleh nangis. Nak berjaya, nak bagus kita kena kuat semangat. Main bola memang kena tackle, memang sakit, memang jatuh.

“Tapi nak berjaya, kena kuatkan semangat. Sakit sikit tu, bangun. Selagi kita boleh jalan, selagi kita boleh bangun, kita bangun. Tunjuk yang kita ni mampu. Boleh bangun?,” nasihat Faisal kepada pemain cilik itu dalam satu video yang tular di laman Facebook Junior X Malaysia.

Selepas mendapatkan nasihat mendalam daripada Faisal Halim, pemain cilik itu terus kuatkan semangat untuk melawan kecederaan yang dialami.

Begitu besar nasihat seorang Faisal Halim kepada pemain tersebut sehinggakan semua kesakitan yang dialami terus dilupakan demi sebuah perjuangan.

Itu juga yang terjadi kepada Faisal Halim yang bangkit semula dalam karier bola sepak selepas mengalami episod hitam disimbah asid pada tahun lalu sebelum kembali ke padang beberapa bulan selepas itu.

Biarpun aksinya tidak lagi seperti dahulu, namun semangat Faisal begitu besar untuk kembali ke prestasi asal dan kini beliau di dalam landasan terbaik selepas sudah dua kali dipanggil ke kem skuad kebangsaan kendalian Peter Cklamovski.