Senarai 25 pemain skuad Harimau Malaya bagi kempen Kelayakan Piala Dunia sudah diumumkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebentar tadi melalui satu siaran media.
Jurulatih Malaysia, Kim Pan-gon mengekalkan seramai 20 daripada 25 pemain yang telah dipanggil pada kem latihan pusat terdahulu bagi Pestabola Merdeka 2023, Oktober lalu.
Manakala terdapat sedikit pembaharuan apabila Pan-gon memanggil semula lima pemain yang pernah menyarung jersi Malaysia sebelum ini iaitu Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman, Shahrul Saad, Syahmi Safari, Afiq Fazail serta pemain naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh.
Sedikit kejutan berlaku apabila melihat seorang pemain telah diletakkan di dalam senarai bersedia iaitu pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Natxo Insa.
Ini kerana, Natxo dilaporkan mengalami kecederaan sebelum ini dan kali terakhir beliau diturunkan JDT adalah ketika perlawanan Liga Super menentang Terengganu FC pada 9 Jun yang lalu. Natxo Insa di bawa masuk bagi mengharungi separuh masa kedua.
Selepas itu, tiada penampilan direkodkan Natxo bersama skuad Harimau Selatan itu. Untuk musim ini, Natxo hanya merekodkan 4 penampilan sahaja bersama JDT.
Adakah ini menandakan Kim Pan-gon sentiasa mengikuti secara rapi perkembangan pemain berusia 37 tahun itu? Kim Pan-gon sudah pasti mempunyai sebab dan jawapan yang kukuh mengenai persoalan yang timbul.