“Negeri Sembilan Antlers Tidak Akan Lari Dari Sistem Sebegini”
UltraSukan
SepakTakraw League

Juara STL Challenge Cup, Negeri Sembilan Antlers tetap yakin untuk mengungguli Grand Prix (GP) Negeri Sembilan meskipun diletakkan dalam kumpulan maut.

Hasrat itu dizahirkan Presiden Persatuan Sepaktakraw Negeri Sembilan (PESTANS), Wan Mohd Husni Abdullah bila ditanya tentang peluang pasukan itu.

GP Negeri Sembilan yang juga GP kedua STL musim 2025 menyaksikan Negeri Sembilan Antlers berada dalam Kumpulan D.

Kumpulan D dianggap mencabar kerana selain Negeri Sembilan Antlers, Melaka Titans dan KL Thunder turut berada dalam kumpulan sama.

Melaka Titans turun sebagai juara Divisyen 1 STL dan GP Terengganu. KL Thunder pula merupakan juara beberapa siri GP STL musim 2024.

Meskipun sedar dengan cabaran hebat yang akan dihadapi Negeri Sembilan Antlers, Husni percaya pasukan itu mampu memberi saingan hebat. Ini kerana mereka juga memiliki kelebihan beraksi di gelanggang sendiri.

“Sesiapa yang kurang buat kesilapan, itu (faktor) akan menang akhirnya. “Lawan tetap lawan, kami tidak akan lari dalam sistem sebegini.

“Kami adalah pasukan bukan pilihan dan cuba berikan permainan yang baik, pemain jangan terlalu tertekan,” katanya seperti dilaporkan Stadium Astro.

Negeri Sembilan Antlers akan membuka kempen kumpulan dengan menentang Melaka Titans.