Negeri Sembilan Terpaksa Lupakan Takumi Sasaki
MakanBola
Negeri Sembilan FC

Negeri Sembilan FC terpaksa melupakan khidmat pemain perancang Jepun, Takumi Sasaki selama sebulan akibat kecederaan.

Perkara ini disahkan jurulatih The Jangs, Daniel Gimenez apabila ditanya tentang status terbaru tentang kecergasan Sasaki. Gimenez memaklumkan pemain Jepun itu hanya akan kembali selepas tamat tetingkap kalendar antarabangsa FIFA.

“Saya percaya kita akan cuba turunkan Takumi (Sasaki) dalam aksi pertama selepas tetingkap kalendar antarabangsa FIFA. Mungkin beliau akan mula menjadi sebahagian daripada pasukan.

“Sudah tentu kita rindukan beliau, beliau pemain penting (buat Negeri Sembilan) dan semua orang tahu. Tapi itu sebab kita ada 28 pemain dan pemain lain akan melakukan tugas beliau dengan baik,” katanya kepada Nadi Bola.

Sasaki mengalami kecederaan sebelum aksi Liga Super menentang Melaka FC baru-baru ini. Kecederaan beliau dilihat memberi kesan kepada jentera tengah dan prestasi pasukan itu.

Hal ini menyaksikan Negeri Sembilan tewas dua aksi berturut-turut. Ini termasuk tewas dalam aksi pertama pusingan 16 Piala FA di tangan kelab Liga A1 Semi-Pro, Kelantan City FC.

Negeri Sembilan akan berdepan cabaran Star City FC di Paroi pada Sabtu.